SAUDARA PENGARANG,
PEKA terhadap hari-hari terpenting dalam sejarah termasuk hari pembentukan Malaysia menjadi tanggungjawab warganegara pada setiap masa, bukan sekadar bermusim atau pada bulan-bulan tertentu sahaja. Sejarah pembentukan Hari Malaysia pada 16 September 1963 melibatkan pembentukan Persekutuan baharu dengan penyatuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.
Pembentukan Hari Malaysia juga menyaksikan kelahiran Perlembagaan Malaysia. Dokumen keramat ini merupakan undang-undang tertinggi dalam negara yang menjamin kedudukan Raja-raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong serta hak asasi dan kebebasan rakyat di bawah satu dasar kerajaan demokrasi berparlimen.
Generasi muda perlu memperkasakan, menguatkan tekad dan semangat jati diri harus dijadikan asas Keluarga Malaysia dengan menjauhkan semangat perkauman sempit yang menjadi batu penghalang kepada kerukunan hidup rakyat di negara ini. .
Bak kata pepatah, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Bumi Malaysia sewajibnya menjadi tanggungjawab rakyat seluruhnya. Kita sebagai rakyat amat perlu memahat Hari Malaysia dalam hati menjadikannya sebagai hari sangat bermakna dalam jiwa, tidak kira di mana sahaja kita berada.
Proses pembentukan bangsa Malaysia seharusnya bermula dari institusi keluarga, masyarakat, pemimpin serta turut melibatkan institusi awam dan swasta sementara pelajar sekolah perlu dipupuk dengan pengetahuan dan konsep Hari Malaysia agar mereka mempunyai penghayatan tinggi dalam kehidupan sehingga dewasa.
Golongan muda merupakan kumpulan yang sangat penting untuk didekati kerana mereka memerlukan bimbingan akhlak secukupnya bagi membentuk keperibadian dan sahsiah cemerlang. Ini jelas menunjukkan peranan ibu bapa dan masyarakat adalah amat penting ke arah memakmurkan sambutan simbolik penyatuan hati rakyat negara ini menurut acuan budaya dan amalan kita sendiri.
Pelbagai langkah boleh dilaksanakan bagi memupuk kesedaran seperti melaksanakan kempen kesedaran di media sosial, pameran dan hiasan, majlis sambutan perayaan dan kesyukuran, pengembaraan Jalur Gemilang ke seluruh negara, pesta perayaan dan budaya, seminar, webinar, persidangan serta pastinya pemilihan tokoh Hari Malaysia di peringkat tertinggi. Aktiviti-aktiviti seperti ini tentunya dapat meniup aura semangat penubuhan Malaysia.
PROF. MADYA DR. KHAIRI ARIFFIN, Jabatan Sejarah, Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris