SAUDARA PENGARANG,
SYABAS, akhirnya pasukan bola sepak Negeri Sembilan FC (NSFC) layak diterima masuk dalam kelompok keluarga Liga Super pada musim hadapan yang dinaikkan taraf dari Liga Perdana kepada Liga Super.
Baru-baru ini, PDRM FC menyekat hasrat Kuching City FC untuk mencatat kemenangan selepas mengikat keputusan seri 0-0 pada aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Johor.
Keputusan seri itu juga membolehkan NSFC layak ke saingan Liga Super musim depan selepas Kuching City FC yang berbaki lima perlawanan tatkala mengumpul 18 mata tidak mampu untuk memintas NSFC yang menghimpun 35 mata dan berbaki dua perlawanan.
Tahniah juga diucapkan kepada Presiden NSFC yang juga Tunku Besar Tampin, Tuanku Syed Razman Tuanku Syed Idrus Al-Qadri dengan komitmen dan minat mendalam yang ditunjukkan telah membawa berkat kepada NSFC.
Diharap musim 2022 nanti, NSFC terus cemerlang dan mampu untuk bersaing dengan pasukan lain di Liga Super.
Kalau boleh kekalkan pemain-pemain sekarang yang berpotensi menentang pasukan lawan.
Sekurang-kurangnya 70 peratus pemain lama dikekalkan terutama sekali pemain import kerana apa yang penting adalah keserasian mereka apabila berada di padang.
Begitu juga kekalkan jurulatih NSFC, K. Devan kerana mampu membawa skuad bola sepak itu ke Liga Super.
Dalam pada itu, mohon jasa baik kerajaan Negeri Sembilan untuk memberikan peruntukan lebih sedikit.
Syarikat-syarikat swasta lain berikanlah sokongan dari segi kewangan untuk membantu NSFC yang mempunyai ramai peminat.
Sudah lama sangat Negeri Sembilan idamkan Piala Liga Super dan Piala Malaysia. NSFC mampu kalahkan Johor Darul Ta’zim (JDT) kali ini. Insya-Allah.
SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL, Seremban, Negeri Sembilan.