SAUDARA PENGARANG,
LAPORAN berita seorang anggota tentera berpangkat sarjan diberhentikan daripada perkhidmatan akibat enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 mendapat perhatian meluas masyarakat. Pelbagai pihak tampil memberikan pandangan dalam menyelami kewajaran anggota tersebut ditamatkan perkhidmatan serta merta.
Banyak pandangan yang menyokong tindakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) lebih menjurus kepada ketetapan pematuhan peraturan dan undang-undang ketenteraan masa kini. Sebaliknya yang melemparkan kritikan pula lebih cenderung menghukum kerana mendakwa hukuman yang diterima bersifat sarkastik dan tidak berperikemanusiaan.
Seseorang yang menceburi profesion ketenteraan perlu bersedia untuk komited dan berkhidmat sepenuhnya dengan menampilkan integriti, semangat patriotisme serta profesionalisme di tahap tinggi. Seseorang juga perlu sentiasa bersiap siaga dan bersedia untuk berusaha lebih keras bagi melaksanakan peranan lebih besar sama ada dalam negara mahupun antarabangsa. Ini bermakna bidang ketenteraan berkait rapat dengan tahap kesihatan dan kecerdasan tinggi.
Dalam situasi penularan pandemik Covid-19 ketika ini, tidak dinafikan peranan anggota tentera sebagai barisan hadapan sentiasa terdedah kepada pelbagai bahaya ekoran faktor tugasan yang mencabar termasuk perlu ke kawasan berisiko tinggi.
Relevansi anggota ATM sebagai petugas barisan hadapan perlu diperkasa agar tiada sebarang kesangsian boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap keberadaan mereka di lokasi ditugaskan. Dalam erti kata lain, amat penting bagi setiap anggota menerima dan melengkapkan suntikan vaksin semasa mereka diatur gerakkan dalam membantu dan melindungi masyarakat.
Kesiagaan kesihatan anggota tentera dalam tempoh penularan Covid-19 bukan sahaja untuk melindungi diri malah ahli keluarga, rakan sekerja dan masyarakat. Sekiranya virus itu menjangkiti ahli keluarga, sudah pasti menjejaskan keupayaan anggota dalam melaksanakan tugas.
Anggota tentera harus meletakkan kepercayaan dan yakin vaksin adalah ikhtiar terbaik untuk melindungi kesihatan daripada jangkitan virus pembunuh berkenaan.
Pada masa sama, bukankah mereka juga yang akan berasa lebih yakin dan selamat dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab. Malah, masyarakat akan turut yakin atas pengorbanan setiap anggota tentera dalam melindungi keselamatan dan kedaulatan negara serta kesejahteraan rakyat.
VETERAN PRIHATIN, Kuala Lumpur