SAUDARA PENGARANG,
ANTARA kenapa undang-undang membenarkan wakil rakyat melompat parti ialah kerana sistem pilihan raya di negara ini lebih berorientasikan soal pilihan berasaskan calon berbanding parti.
Konsep ini berteraskan Perlembagaan dan akta-akta pilihan raya. Perlembagaan Persekutuan tidak merujuk kepada parti politik dalam peruntukan yang berkaitan keanggotaan Dewan Rakyat. Ia boleh dirujuk pada Perkara 44 hingga 65 berkaitan Badan Perundangan Persekutuan.
Undang-undang pilihan raya yang diluluskan oleh Parlimen seperti Akta Pilihan Raya 1958 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1952 pula tidak mengandungi peruntukan yang merujuk kepada parti politik.
Bahkan dalam peruntukan yang signifikan seperti Seksyen 13 dan Seksyen 16 Akta Pilihan Raya 1958 yang memperuntukkan perkara berkaitan pencalonan dan pengisytiharan keputusan pilihan raya, rujukan hanyalah kepada calon bertanding, bukannya parti.
Majoriti pengundi memilih atas faktor parti atau gabungan parti, bukannya calon hingga wujud pertentangan antara konsep mandat yang diperuntukkan dalam undang-undang dan realiti sebenar.
Sebenarnya perkaitan antara wakil rakyat dan parti dalam konteks ini bukanlah dari sudut keahlian tetapi dari sudut penggunaan simbol sewaktu dicalonkan dalam pilihan raya. Ia disebut dalam peraturan pilihan raya, iaitu Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981. Peraturan 11(2) memperuntukkan calon boleh menggunakan simbol parti politik.
Berdasarkan peraturan itu, dapat difahami definisi lompat di sini bukannya keluar daripada keahlian parti tetapi keluar daripada keanggotaan parti yang diwakilinya.
Sebaik sahaja calon berkenaan memenangi pilihan raya, maka dia dianggap sebagai ahli Dewan Rakyat yang mewakili sesebuah parti dan perlu kekal setia sehingga pembubaran Parlimen. Jika dia menukar parti atau mengundi bertentangan kehendak partinya di Dewan Rakyat, maka dia terhenti menjadi wakil rakyat dan kerusinya diisytiharkan kosong.
Jika undang-undang halang lompat parti dibuat berdasarkan keahlian parti tanpa merujuk kepada penggunaan simbol waktu pilihan raya, maka ia boleh mewujudkan kecelaruan dalam pelaksanaan undang-undang dan mandat rakyat.
Misalnya seorang wakil rakyat MIC bertanding menggunakan simbol Barisan Nasional (BN). Andaikan berlaku pergolakan dalam BN dan MIC mengisytiharkan keluar dari gabungan itu bermakna kerusi dalam Dewan Rakyat terus kekal. Tetapi adakah kesan perundangan itu benar-benar menepati mandat sebenar rakyat yang memangkah simbol BN dalam pilihan raya?
Dari sudut lain pula, undang-undang halang lompat parti dibuat berdasarkan keahlian parti mengekang kebebasan seseorang dari aspek berpersatuan seperti kes Nordin Salleh lwn. Dewan Undangan Negeri Kelantan (1993) di mahkamah.
Ringkasnya, reformasi perundangan bagi mengatasi masalah budaya lompat parti perlu ditangani secara segera dan bersungguh-sungguh dengan meneliti masalah sebenar. Soal mandat rakyat yang difahami melalui perlembagaan dan undang-undang pilihan raya tidak boleh diketepikan.
Sekarang kita berada dalam situasi terbaik untuk melaksanakan perubahan dalam sistem pilihan raya dan pentadbiran agar sistem yang ada lebih menjamin kestabilan.
PROFESOR MADYA DR. MUHAMMAD FATHI YUSOF, Fakulti Teknologi & Informatik Razak Universiti Teknologi Malaysia