SAUDARA PENGARANG,
SEJAK tercetusnya pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020, desakan dibuat agar kerajaan memperkenalkan Skim Jaminan Pendapatan Asas kepada sesiapa yang kehilangan punca pendapatan akibat wabak itu.
Menerusi skim tersebut, setiap keluarga yang kehilangan punca pendapatan harus dibayar RM1,000 sebulan bagi memastikan tidak terjerumus ke dalam kancah kemiskinan.
Malangnya sehingga kini kerajaan masih tidak memperkenalkan skim itu sebaliknya memilih memberi bantuan bersifat one off (sekali bayar) iaitu Bantuan Khas Covid-19 (BKC) yang dibuat secara ansuran.
Menerusi BKC, isi rumah miskin tegar dibayar RM1,300 manakala RM500 untuk warga emas dan RM500 bagi individu bujang yang berada dalam kategori tersebut.
Isi rumah berpendapatan rendah (B40) pula menerima bayaran RM800, RM200 untuk warga emas dan mereka yang bujang sebanyak RM200.
BKC juga dipanjangkan kepada golongan berpendapatan sederhana (M40) yang mempunyai pendapatan isu rumah melebihi RM5,000 sebulan.
Sebenarnya adalah lebih bermanfaat jika kerajaan beralih daripada kaedah bantuan sekali bayar kepada skim bayaran bulanan kerana ia lebih memberi fokus kepada isi rumah yang benar-benar kehilangan punca pendapatan akibat pandemik Covid-19.
Bantuan secara bulanan dapat membantu isi rumah menampung kos sara hidup asas seperti membeli makanan.
Dalam satu kajian lapangan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada Mac 2020, didapati golongan paling banyak kehilangan pendapatan ialah mereka yang bekerja sendiri.
Sebanyak 46.6 peratus daripada responden bekerja sendiri memaklumkan mereka kehilangan pendapatan berbanding 23.8 peratus yang bekerja dengan majikan.
Kajian sama mendapati 71.4 peratus responden bekerja sendiri tidak mempunyai simpanan mencukupi dan rata-rata memiliki kurang daripada sebulan pendapatan berbanding 49.2 peratus yang bekerja dengan majikan.
Oleh itu, bantuan segera secara bulanan ini perlu diberikan kepada golongan yang kehilangan pendapatan.
Dicadangkan ia hanya diberikan kepada mereka yang tidak mendapat bantuan lain seperti Skim Insurans Pekerjaan (SIP) bagi yang mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Turut tidak layak ialah isi rumah yang menerima pencen tetap melebihi RM1,000 sebulan, kakitangan kerajaan, masih mempunyai pekerjaan alternatif selain pekerjaan utama dan boleh menjalankan perniagaan.
Cadangan ini dikhususkan kepada sesiapa yang kehilangan sumber pendapatan seperti pekerja sektor tidak formal, pekerja persendirian berskala kecil dan peniaga mikro.
Kini, bantuan yang diberikan oleh kerajaan seperti Program Subsidi Upah (PSU) dan SIP hanya membantu pekerja dalam sektor formal.
Sedangkan sekarang terdapat kira-kira tiga juta pekerja tidak formal dan dua juta orang bekerja sendiri yang tiada sebarang sistem sokongan apabila mereka kehilangan punca pendapatan akibat pandemik.
Ingatlah, bayaran RM1,000 sebulan bukan bertujuan menjadikan rakyat kita malas sebaliknya merupakan satu jaringan keselamatan sosial untuk memastikan isi rumah yang kehilangan punca pendapatan secara mendadak tidak kelaparan.
SIVARAJAN ARUMUGAM, Kuala Lumpur.