SAUDARA PENGARANG,
SAYA merupakan salah seorang pekerja di sebuah hotel di Pulau Pinang yang menerima kemasukkan tetamu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atas urusan perniagaan.
Baru-baru ini, dua pekerja hotel disahkan positif Covid-19. Namun pihak pengurusan tidak mengambil langkah sewajarnya dengan memastikan kontak rapat kepada dua pekerja berkenaan menjalani kuarantin kendiri di rumah dan menutup operasi untuk tempoh 10 hari.
Yang merisaukan saya, kedua-dua pekerja terbabit menjalankan perkhidmatan pembersihan yang mana kita tahu mereka akan membersihkan setiap bilik dan ruang di hotel terbabit yang memberi risiko bukan sahaja kepada rakan-rakan sekerja lain tetapi juga tetamu.
Saya berharap kerajaan perlu lebih peka dan memantau sektor perhotelan dalam melaksanakan perniagaan sepanjang tempoh pandemik.
Bahkan terdapat juga beberapa rakan saya yang berkerja dalam pelbagai bidang turut mengadu perkara sama apabila mereka dipaksa ke pejabat dengan kapasiti penuh walaupu kerajaan memberi kelonggaran kepada sektor swasta.
Jangan disebabkan keras kepala pihak atasan dan pemilik perniagaan menyebabkan nyawa pekerja dan keluarga di ambang maut.
PEKERJA TERTEKAN, Pulau Pinang