SAUDARA PENGARANG,
ISU sensasi politik dilihat lebih kerap dikemaskini berbanding masalah berkaitan Covid-19. Senario seperti ini hanya mengundang kemarahan rakyat selain mula meluat dengan gaya politik pentingkan diri oleh sesetengah pihak.
Tidak dinafikan kuasa dan kedudukan adalah satu nikmat serta ujian kepada setiap manusia. Nabi Muhammad SAW mengingatkan umatnya dengan ujian ini dalam sebuah hadis dinukilkan oleh Imam al-Tarmizi: “Tidaklah dua ekor serigala lapar yang menghendap sekumpulan kambing lebih berbahaya berbanding seseorang yang amat mengidamkan kelebihan pada harta dan kemuliaan pada agamanya.”
Imam al-Ghazali mengulas dalam kitabnya, Ihya Ulum al-Din mengenai penyakit menimpa mereka yang cinta atau tamakkan kuasa dengan mengaitkan surah al-Qasas, ayat 83: “Negeri akhirat (yang telah diterangkan nikmat-nikmatnya) itu, Kami sediakan bagi orang-orang yang tidak bertujuan hendak mendapat pengaruh atau kelebihan di muka bumi dan tidak ingat hendak melakukan kerosakan; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.”
Kemudian, beliau menghubungkan penerangan ayat di atas dengan dua ayat yang berada dalam surah Hud ayat 15-16: “Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh al-Quran tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikit pun padanya. Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batallah apa yang mereka telah kerjakan.”
Tanpa pangkat dan jawatan, idea dan pendapat sekalipun bernas belum tentu dapat dilaksanakan bagi mencapai sesuatu kebaikan dan manfaat umum. Bagaimanapun, bertelagah dan berkonflik hanya kerana mendapatkan atau mengekalkan kuasa adalah suatu perkara amat tercela yang menggambarkan tamaknya manusia terhadap kuasa dan jawatan.
Ringkasnya, kegilaan dan tamak kuasa boleh menjadi penyebab kepada kerosakan agama seseorang bahkan hubungan sesama manusia juga boleh bergoncang akibat perkara ini. Meskipun begitu, Allah SWT sentiasa memelihara hamba-Nya yang beriman daripada godaan tamak yang merosakkan.
Bersempena bulan Muharram tahun 1443 Hijrah ini, marilah bersama mengukuhkan kembali silaturahim, membina persahabatan yang erat serta hubungan yang baik sesama Muslim dan manusia. Mudah-mudahan dengan azam dan perbuatan mulia tersebut akan menjemput kerahmatan dan keberkatan di dunia dan akhirat.
MOHD. SHAHID MOHD. NOH, Jabatan Syariah & Ekonomi, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.