SAUDARA PENGARANG,
BERITA kejayaan atlet Malaysia dalam Sukan Paralimpik XVI Tokyo 2020 yang berakhir pada 5 September lalu sepatutnya diraikan lebih meriah tetapi apa berlaku pula adalah sebaliknya. Ini ekoran kegagalan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai agensi penyiaran awam memperoleh hak penyiaran daripada Olympic Broadcasting Services ternyata amat mengecewakan ramai peminat sukan tanah air.
Sebaliknya, pesta temasya terbesar di dunia bagi atlet orang kurang upaya (OKU) itu hanya dapat disaksikan secara eksklusif melalui saluran televisyen berbayar satelit terkenal tempatan. Ini bermakna cuma 5.7 juta isi rumah berpeluang menonton aksi atlet negara kita secara langsung berbanding 6.2 juta isi rumah yang bergantung siaran terrestrial digital MYTV.
Bayangkan nasib malang golongan majoriti dalam kalangan berpendapatan rendah atau B40 yang dinafikan hak mereka menyaksikan detik gemilang kejayaan anak watan di bumi Jepun yang hanya mampu mengikuti berita ‘basi’ menerusi program sorotan, Ganbare Tokyo yang disiarkan pada 12.30 tengah malam.
Selain itu, para penonton siaran percuma cuma ‘disajikan’ laporan harian selama 10 minit sahaja melalui slot Charenji Tokyo dalam Berita Tengah Hari dan Berita Perdana di TV1.
Senario ini begitu aneh apabila hak sebahagian besar rakyat marhaen untuk turut sama dapat bergembira ceria menikmati liputan Paralimpik seolah-olah diskriminasi ala antara dua darjat.
Sewajarnya, pihak pengurusan RTM sudah patut bersedia dengan lebih awal dalam isu mendapatkan hak penyiaran sejurus tamat temasya sama di Rio de Janeiro, Brazil pada 2016.
Apakah RTM tidak peka memahami denyut nadi rakyat dan lebih malang, saluran Sukan RTM yang dilancarkan pada 1 April lalu itu langsung tidak dimanfaatkan sebaik mungkin. Sebaliknya, kandungan di saluran khas ini cuma mengulang siar program lama yang membuang masa penonton.
Malulah dengan negara jiran yang penduduknya berbangga lagi megah mengikuti perjalanan gemilang atlet OKU mereka tetapi di Malaysia, hanya kluster kayangan dapat peluang ini.
Kepada pihak atasan RTM, tolonglah lebih berjiwa patriotik dan sekarang anda ada kurang tiga tahun lagi sebelum temasya sama edisi ke-17 di ibu kota Perancis, Paris pada 2024 kelak.
AMREE AHMAD, Putrajaya