SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, sekumpulan anak muda mengumumkan menyertai PKR dan mereka dengan tegas menyatakan tindakan dilakukan itu tanpa niat mengejar sesuatu termasuk jawatan dan habuan.
Sebelum ini, orang lain yang menyertai sesebuah parti politik turut memberi pandangan dan alasan sama.
Bagi saya mudah sahaja, sesiapa yang terjun diri dalam dunia politik, mereka memang mahu jawatan dan habuan.
Kalau tidak mempunyai niat sedemikian lebih baik jadi penoreh getah di kampung sahaja. Bila sudah bergiat dalam politik, pandai-pandailah membawa diri, bercakap mesti tunjuk lebih pandai daripada orang lain.
Apabila berbahas di Dewan Rakyat, biar orang kampung tengok cara kita bercakap sehingga disebut nama sebagai seorang pemimpin berpandangan jauh dan berwibawa serta ambil tahu serba-serbi masalah rakyat.
Yang penting bagi orang baru masuk politik, sikap bersabar perlu ada dalam diri sendiri dan sampai masa, pasti dipilih jadi calon juga bila ramai penyokong di kawasan.
Yang pelik dan sering berlaku dalam negara ini, ramai pesara kerajaan termasuk dalam kalangan bekas tentera dan polis yang menjadi calon pilihan raya.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), ada dalam kalangan pesara kerajaan yang dipilih semula menjadi calon kerana hebat bercakap di pentas ceramah di kampung dan pekan.
Nampaknya pesara kerajaan tidak pernah berasa puas untuk berkhidmat. Mereka tidak beri peluang kepada orang lain kerana ingin terus mendapat gaji lumayan dan meninggal dunia dengan gelaran Yang Berhormat.
Sesungguhnya orang biasa tidak berminat langsung untuk bergiat dalam politik dengan memberi alasan tempat itu memang berserabut.
Golongan yang berminat dengan politik pula sebaliknya dengan mengatakan di situ boleh hidup mewah bila menang, kalau pandai hemoi (loghat Kedah dan Perlis) yang bermaksud perlu tebal muka dan tidak malu-malu langsung.
ABD. RAZAK OSMAN, Sungai Petani, Kedah.