SAUDARA PENGARANG,
Pada 10 September setiap tahun, seluruh dunia memperingati Hari Pencegahan Bunuh Diri.
Ia diadakan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai terhadap isu bunuh diri serta impak daripada perbuatan itu terhadap mangsa, keluarga mereka dan orang sekeliling.
Penularan virus Covid-19 sejak awal 2020 dan langkah drastik diambil oleh kerajaan bagi membendungnya dengan menutup sektor ekonomi dan pekerjaan telah meningkatkan lagi jumlah kes bunuh diri.
Data Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan kes bunuh diri pada 2019 adalah sebanyak 609 kes manakala 2020 sebanyak 631 dan bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini pula sebanyak 468 kes.
Secara purata dua kes dilaporkan berlaku setiap hari sejak 2019 hingga Mei 2021.
Siasatan turut mendapati tiga punca utama bunuh diri adalah masalah keluarga, tekanan perasaan dan kewangan.
Bunuh diri adalah isu serius yang perlu diberi perhatian oleh semua orang. Kerjasama semua pihak bagi menghentikan perbuatan bunuh diri adalah penting.
Kerajaan perlu melihat semula semua peruntukan undang-undang lapuk dan sudah lama dikuatkuasakan dalam negara kita serta mengambil tindakan berani untuk meminda atau memansuhkannya jika sudah tidak relevan.
Antara undang-undang yang perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan adalah berkaitan cubaan bunuh diri yang berada di bawah Kanun Keseksaan.
Pelik tetapi benar, undang-undang itu melayan individu cuba membunuh diri sebagai penjenayah yang boleh dikenakan hukuman penjara dan denda.
Menurut Seksyen 309 Kanun Keseksaan, cubaan membunuh diri adalah jenayah yang boleh membawa kepada hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Seksyen berkenaan telah lama termaktub di dalam Kanun Keseksaan. Ada pihak mengatakan kewujudan seksyen berkenaan boleh membantu menghalang cubaan bunuh diri.
Bagaimanapun, kebanyakan orang termasuk pakar perubatan berpendapat peruntukan itu hanya akan menghukum mereka yang memerlukan bantuan dan rawatan.
Hukuman penjara dan denda terhadap mereka yang tidak berjaya membunuh diri tidak dapat menyelesaikan punca seseorang mahu menamatkan hidup mereka dan tidak mustahil individu terbabit akan mengambil langkah lebih drastik bagi memastikan usaha membunuh diri berjaya dilakukan.
Individu terlibat sebenarnya memerlukan bantuan daripada pakar dan profesional bagi membantu mereka menyelesaikan masalah yang menjerumuskan diri untuk membunuh diri, bukannya dihukum di bawah mana-mana peruntukan undang-undang.
Perlu diketahui, sebarang usaha atau cubaan untuk membunuh diri adalah isyarat jelas pihak pelaku untuk meminta pertolongan daripada kita semua bukannya untuk dihukum, didenda dan ditambahkan lagi bebanan yang mereka terpaksa lalui.
Secara realitinya, cadangan pindaan terhadap Seksyen 309 Kanun Keseksaan akan mengambil masa yang lama kerana perlu dibawa ke Parlimen dan melalui beberapa proses pindaan sebelum ia diluluskan.
Apa yang boleh dilakukan untuk sementara waktu ini adalah melaksanakan moratorium terhadap peruntukan undang-undang sedia ada.
Dengan adanya moratorium ini, kerajaan boleh menangguhkan tindakan undang-undang dan hukuman keras terhadap individu yang cuba membunuh diri.
PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.