SAUDARA PENGARANG,
UMUM mengetahui, negara masih dibelenggu pandemik. Namun, ia bukanlah penghalang untuk menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat. Pelbagai program boleh dijalankan secara dalam talian dengan membudayakan norma baharu dalam waktu yang cukup luar biasa ini.
Semangat cintakan negara cukup penting bagi memastikan rakyat sentiasa berganding bahu dalam menjaga kedaulatan dan mengorak langkah bersama serta mara ke hadapan sebagai Keluarga Malaysia.
Pelbagai aktiviti yang berimpak boleh dijalankan untuk memupuk semangat patriotisme khususnya dalam kalangan anak muda. Antaranya, aktiviti atau pertandingan menarik dan interaktif seperti pidato, debat, deklamasi sajak kemerdekaan serta penulisan esei.
Inisiatif Info On Wheels (IoW) yang diusahakan Jabatan Penerangan dapat mendekatkan semua lapisan masyarakat terutama di pedalaman dalam menghayati kemerdekaan, dasar kerajaan selain menggalakkan rakyat memasang Jalur Gemilang, menyanyi lagu patriotik dan menyokong barangan tempatan. Pameran besar-besaran secara maya boleh memperkenalkan dan mempromosikan kejayaan yang dicapai dalam pelbagai bidang.
Ia selari dengan strategi dalam Dasar Perpaduan Negara untuk meningkatkan literasi rakyat tentang Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Agensi kerajaan boleh mentarbiahkan rakyat tentang perlembagaan yang merupakan undang-undang tertinggi melalui webinar, kuiz atau sesi libat urus.
Begitu juga sistem pentadbiran negara yang bertunjangkan sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen melalui infografik dan tayangan video di media sosial.
Program memakai pakaian tradisional, menikmati makanan pelbagai etnik dan mengenali pelbagai budaya boleh dijalankan melalui sesi perkongsian peserta.
Dalam pada itu, kempen penghayatan Rukun Negara perlu dipergiatkan untuk membolehkan rakyat memahami, mempraktikkan dan menerapkan semua prinsip dalam kehidupan. Ia boleh dilakukan melaui program temu bual di televisyen atau radio.
Program nyanyian, mencipta lagu patriotik, tayangan video kisah tokoh pejuang kemerdekaan dan peranan petugas barisan hadapan boleh dijalankan kerana mampu membangkitkan semangat cinta dan bangga kepada negara.
Untuk memperkukuhkan lagi semangat patriotisme, belia dan mahasiswa boleh diberikan peluang untuk berjumpa dengan pemimpin negara dan tokoh dalam pelbagai bidang. Program sebegini dapat meningkatkan daya juang rakyat demi negara dan mampu memberikan suntikan motivasi agar terus mencapai kejayaan dalam kehidupan.
LIM SAN SHIEN, Presiden Persatuan Pemimpin Muda Universiti Malaya & Ikon Siswa Kepimpinan Negeri Johor