MoU patut pertahan kebebasan media - Utusan Malaysia

MoU patut pertahan kebebasan media

KERAJAAN perlu menghapuskan undang-undang yang bersifat intimidasi terhadap pihak media. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dimeterai antara Kerajaan Persekutuan dengan Pakatan Harapan (PH).

Ia berkuat kuasa dari tarikh perjanjian dimeterai pada 13 September lalu hingga pembubaran Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan.

MoU itu antara lain memperincikan enam transformasi utama iaitu Pemerkasaan Pelan Covid-19, Transformasi Pentadbiran, Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Ia mempersetujui pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti, had tempoh Perdana Menteri selama dua penggal dan persetujuan untuk tidak mengadakan PRU-15 sekurang-kurangnya sehingga Julai 2022.

PH juga dilaporkan akan meneliti MoU itu selepas 31 Julai 2022 jika kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob gagal melaksanakannya.

MoU itu menyerupai Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) yang ditawarkan oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika krisis politik sebelum ini.

Tujuh tawaran Muhyiddin kepada pembangkang tempoh hari berkisar tentang perubahan institusi Parlimen seperti status ketua pembangkang diiktiraf sebagai menteri kanan dan jumlah ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang lebih seimbang dalam Jawatankuasa Pilihan Khas.

Muhyiddin turut berjanji akan mempercepatkan pelaksanaan Undi18, mengehadkan tempoh perkhidmatan perdana menteri kepada dua penggal dan menggubal RUU Anti Lompat Parti.

Setelah MoU itu ditandatangan, terdapat beberapa kritikan dikemukakan termasuk daripada Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan yang mempersoalkan mengapa akta dana politik tidak dimasukkan sama walaupun telah lama dicadangkan.

Transparency International Malaysia (TI-M) pula meluahkan kebimbangan MoU itu tidak menyertakan janji-janji reformasi mengenai RUU Pembiayaan Politik, pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Perlembagaan.

Dalam pada itu, saya berpendapat MoU itu adalah satu langkah diambil kerajaan yang menawarkan peluang keemasan untuk memperkasakan masyarakat kita.

Namun, tiada sebarang desakan tentang kebebasan media yang merupakan alat utama untuk mendidik dan membina pemikiran kritis dalam kalangan masyarakat terkandung dalam MoU berkenaan.

Selepas mencapai kemerdekaan, Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj tidak membuang peraturan dan undang-undang penapisan media untuk mengawal kritikan politik yang digubal oleh penjajah British.

Media mengalami kesusahan kerana intimidasi kerajaan seperti penapisan, tindakan undang-undang melampau dan perampasan peralatan.

Petugas media juga pernah disiasat untuk beberapa jam oleh polis kerana memberi liputan terhadap perhimpunan awam.

Peralatan mahal yang dirampas polis menyebabkan kerugian besar kepada pihak media.

Undang-undang yang membolehkan kerajaan melakukan penapisan dan intimidasi sedemikian perlu dihentikan selama-lamanya melalui MoU untuk melindungi kebebasan media.

SHARAN RAJ, Melaka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya