Merdeka bukan sekadar bebas daripada dijajah - Utusan Malaysia

Merdeka bukan sekadar bebas daripada dijajah

MESKIPUN berdepan tekanan ekonomi dan sara hidup, peniaga yang merdeka akan sentiasa membantu golongan memerlukan. -GAMBAR HIASAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

RAKYAT hari ini semakin prihatin dan peka tentang perkara yang berlaku di sekeliling daripada sebesar-besar isu dalam negara sehingga sekecil-kecil isu di persekitaran kejiranan. Begitu juga mereka cukup prihatin tentang pentadbiran negara. 

Perkara ini berlaku kerana rakyat dilimpahkan dengan maklumat yang terlalu banyak dan penyebarannya pula begitu pantas. Inilah yang paling getir, takut, bahaya apabila budaya kealpaan dan fitnah mula menjajah minda. 

Berdasarkan kajian dilakukan, ekonomi merupakan indikator utama yang mempengaruhi keprihatinan rakyat ke atas gelagat dan tingkah laku dalam memberi respons terutama masyarakat di bandar. Mereka melihat faktor ekonomi secara tidak langsung melibatkan kehidupan dan kelangsungan hidup.

Kestabilan politik negara berkorelasi dengan pertumbuhan ekonomi negara yang berhubung pula dengan kesejahteraan rakyat. Buktinya, lihatlah persekitaran pandemik hari ini, bagaimana politik dan ekonomi bergerak balas dan bagaimana rakyat bertindak balas.

Rakyat prihatin dan lantang menyuarakan hak jika dicabuli. Kenapa ini berlaku? Jawapan yang saya peroleh berdasarkan kajian maklum balas dijalankan adalah mereka akan lebih berkira apabila ekonomi terganggu atau diganggu. 

Berdasarkan pengalaman sepanjang di lapangan tidak menggambarkan keresahan ekonomi akibat pandemik yang melanda. Meskipun gerainya sekadar meja lipat, peniaga ini tidak berkira. Walaupun dihimpit kenaikan harga kos tetapi majoriti masih tidak menaikkan harga jualan dengan alasan ingin membantu dan tidak mahu membebani pelanggan. 

Meskipun duit itu penting tetapi nilai kemanusiaan jauh lebih tinggi. Jika berhadapan dengan situasi terdesak antara diri sendiri atau beri sedekah, mereka memilih untuk memberi sedekah. Alasan paling kukuh adalah mereka meniaga untuk menyara keluarga dan sangat yakin dengan setiap kebaikan akan dibalas berlipat ganda lebih baik. Jika dilihat dari sudut berbeza, mereka menganggap itu rezeki besar daripada Allah SWT. Segalanya berpaksikan agama dan sentiasa bersyukur dan bersangka baik. 

Hakikat kemerdekaan bukan sekadar kebebasan daripada penjajahan sama ada bangsa, fikiran atau budaya sebaliknya menurut perspektif Islam, ia bermakna kebebasan untuk menikmati kehidupan sesuai fitrah dan selaras matlamat sebenar penciptaannya oleh Allah SWT.

PROFESOR MADYA DR. ROSMADI FAUZI, Jabatan Geografi, Fakulti Sastera & Sains Sosial, Universiti Malaya 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya