Masa penyebab hilang emas - Utusan Malaysia

Masa penyebab hilang emas

UTUSAN Malaysia 1 September 2021.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KONTROVERSI yang menimpa atlet olahraga paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolke­fli dalam acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual) di Sukan Paralimpik Tokyo baru-baru ini sesungguhnya episod malang buat arena sukan negara.

Dia telah dinafikan sebagai pemenang pingat emas dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter yang merupakan rekod baharu dunia.

Rata-rata peminat sukan tanah air menyalahkan pegawai pengiring yang didakwa gagal melaksanakan tugas menguruskan kepatuhan protokol sehingga menyebabkan insiden tersebut berlaku.

Rayuan kontinjen negara susulan penarikan pingat emas milik Muhammad Ziyad sejurus insiden itu bagaimanapun ditolak oleh Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) kerana alasan yang diberikan terlalu lemah, sekali gus emas sah menjadi milik atlet Ukraine, Maksym Koval.

Benarlah, masa itu emas. Peri pentingnya pengurusan masa terbukti dalam isu ini. Justeru, tindakan menyalahkan negara lain dengan menyerang laman sosial mereka hanya memberikan imej buruk kepada negara kita di mata dunia.

Keadaan semakin buruk apabila pejabat Kedutaan Ukraine di Kuala Lumpur terpaksa menutup sementara akaun Facebook rasminya akibat serangan puluhan ribu warganet negara ini.

Perlu diingat, tindakan Ukraine melakukan protes tidak bercanggah dengan peraturan pertandingan dan mereka berhak berbuat demikian.

Bahkan mereka sebenarnya mendapat manfaat daripada disiplin dan amalan budaya profesionalisme yang tinggi.

Kini apa yang perlu adalah pihak-pihak berkenaan mengubah cara bekerja dan membuka minda untuk belajar daripada kesilapan.

Zaman ini segala-galanya perlu bergerak pantas. Tiada alasan munasabah untuk membela diri di atas kesilapan sendiri kerana dengan kemajuan teknologi masa kini yang serba canggih, segala-galanya berada di hujung jari.

Sedikit kelekaan bakal membawa padah. Amat malang dan menyedihkan apabila kerugian ini bukan sahaja ditanggung oleh negara bahkan di pihak Muhammad Ziyad sendiri yang telah menjalani latihan sejak beberapa tahun dalam situasi berdepan pandemik Covid-19.

Reputasinya selaku penyandang juara edisi Paralimpik Rio 2016 turut tercalar malah dia juga hilang statusnya sebagai pemegang rekod dunia.

Apa yang pasti, penubuhan jawatankuasa siasatan dalaman yang dipersetujui oleh Kementerian Belia dan Sukan bagi menyiasat punca insiden ini sewajarnya diwakili oleh individu bebas dan tiada pengaruh dalaman serta arif berkenaan hal ehwal sukan paralimpik.

Ini penting bagi memastikan insiden seumpama itu tidak berulang lagi. Apa pun, sebarang tindakan yang bakal diambil hasil daripada siasatan tersebut nanti diharap tidak merugikan negara dan sukan paralimpik itu sendiri.

Hanya diharapkan agar satu formula bersesuaian terutamanya berkaitan prosedur operasi standard (SOP) dapat dibentuk untuk dijadikan sebagai panduan dan rujukan pada masa akan datang.

Tidak perlu lagi menuding jari menyalahkan sesiapa. Nasi sudah menjadi bubur dan insiden ini harus dijadikan titik tolak untuk terus bergerak ke hadapan.

Penting untuk diulangi sekali lagi bahawa masa itu emas. Malah masa juga boleh menyebabkan kehilangan emas berharga.

MOHD. SALLEH OSMAN, Presint 16, Putrajaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya