SAUDARA PENGARANG,
KEGAGALAN pelontar peluru atlet paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli mempertahankan pingat emas pada sukan Paralimpik Tokyo 2020, baru-baru ini wajar dijadikan pengajaran yang cukup berharga.
Di Jepun, disiplin masyarakatnya berpegang kepada ungkapan masa itu emas. Setiap aktiviti dan masa dilalui penting dalam kehidupan mereka. Lewat bermakna ketinggalan.
Apa yang berlaku pada Muhammad Ziyad bersama dua atlet negara lain kerana lewat dua atau tiga minit memasuki bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan adalah sesuatu yang amat mengecewakan. Sukan ini setaraf Olimpik yang mana disiplinnya tinggi dan jadualnya tetap sama walaupun khas bagi atlet paralimpik. Jadi jangan terkejut, pingat emas dan rekod dunia dicipta Muhammad Ziyad boleh ditarik balik.
Bagi masyarakat Jepun yang diberi mandat sebagai tuan rumah, tentunya mereka mahu membuktikan kejayaan sebagai penganjur yang berdisiplin tinggi.
Masyarakat Jepun sentiasa berhemah, berdisiplin dalam setiap program diatur sama ada persidangan, mesyuarat mahupun perjumpaan. Mereka biasanya sudah bersedia lebih awal dan lengkap ketika menunggu kedatangan tetamu dari luar negara.
Di Jepun, mereka akan menunggu 20 minit lebih awal jika bermesyuarat atau majlis suai kenal. Di negara matahari terbit itu juga sudah kebiasaan penduduknya berkejar masa pada setiap pagi untuk menaiki kereta api laju (tube train) ke tempat kerja.
Bagi mereka, jam tangan yang dipakai hanya untuk pedoman. Ada ketikanya jam mungkin perlahan atau laju.
Oleh yang demikian, insiden yang dialami oleh Muhammad Ziyad perlu dijadikan satu pengalaman dan pengajaran berguna untuk kita memahami disiplin yang tinggi terhadap waktu dan masa daripada masyarakat negara matahari terbit itu.
NAMAI WA KIMSAN, Kuala Lumpur