Malaysia-Taiwan boleh bina kapal halimunan - Utusan Malaysia

Malaysia-Taiwan boleh bina kapal halimunan

ANGGOTA tentera laut Taiwan menghadiri majlis pelancaran korvet halimunan, Ta Chiang yang mempunyai reka bentuk katamaran di daerah Yilan pada 9 September lalu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA 15 September lalu, Utusan Malaysia melaporkan pergerakan kapal peronda China yang menceroboh kawasan perairan Laut Natuna di Indonesia telah mencetuskan ‘kemarahan’ Badan Keamanan Laut (Bakamla).

Laporan yang memetik berita CNN Indonesia menyebut banyak kapal menceroboh perairan negara itu gagal dikesan radar pengawasan Pusat Komando dan Pengendalian (Puskodal) kerana bersaiz kecil.

Puskodal hanya mengesan enam kapal Vietnam di wilayah bertindih termasuk kapal peronda China tetapi setelah pemantauan dibuat dengan mata kasar didapati jumlah kapal yang menceroboh mencapai ratusan buah.

Malaysia turut mengalami pengalaman sama pada 31 Mei lalu setelah Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mendedahkan pihaknya mengesan penerbangan mencurigakan 16 pesawat tentera udara China memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia di Kota Kinabalu, Sabah.

Hanya empat hari selepas insiden itu, kapal pengawal pantai China pula didakwa berlegar berdekatan Beting Patinggi Ali, Sarawak.

Kenapakah tentera China berani bertindak sedemikian? Saya berpendapat mereka menganggap mempunyai kuasa tentera yang kuat dan canggih sehingga boleh ‘membuli’ negara-negara jiran.

Oleh itu, untuk mengimbangi kekuatan ketenteraan Cina, semua negara yang berkongsi sempadan perairan di Laut China Selatan perlu bersatu dengan berpegang kepada pepatah, musuh kepada musuh saya adalah kawan saya.

Antara kerjasama yang boleh dibuat adalah meningkat keupayaan aset ketenteraan sedia ada.

Saya tertarik sesi temu bual Utusan Malaysia dengan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd. Reza Mohd. Sany sempena sambutan Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Ke-87 pada tahun ini apabila beliau menyebut pelan pembangunan TLDM dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

Menurut beliau, TLDM telah merangka pelan pembangunan bagi meningkatkan keupayaan pertahanan yang antaranya melibatkan perolehan 14 kapal jenis kapal misi pesisir (LMS), tiga kapal sokongan pelbagai fungsi (MRSS), 11 kapal ronda generasi baharu (NGPV) dan dua kapal selam.

Selain itu, TLDM juga merancang untuk memperoleh beberapa aset pelengkap seperti fast combat boat (FCB), sistem pesawat tanpa pengendali (UAS) dan juga helikopter antikapal selam (ASW).

Kerjasama dengan musuh China seperti Taiwan boleh dibuat bagi membolehkan Malaysia memperoleh lebih banyak kapal jenis korvet yang mempunyai keupayaan halimunan.

Korvet adalah sejenis kapal perang bersaiz kecil dan laju yang sukar dikesan radar.

Syarikat dari Taiwan, Lung Teh Shipbuilding Company mempunyai keupayaan membina kapal jenis itu.

Pada 9 September lalu, ia telah menyerahkan korvet halimunan pertama, Ta Chiang kepada tentera laut negara itu.

Ta Chiang yang direka bentuk khusus untuk berhadapan dengan aset tentera laut China termasuk menyerang dua kapal pengangkut pesawat negara itu mempunyai kelajuan maksimum 83 kilometer sejam.

Ia dilengkapi peluru berpandu antikapal, Hsiung Feng dan peluru berpandu antipesawat, Hai Chien buatan Chung-Shan Institute of Science and Technology.

Tentera laut Taiwan dijangka menerima lima lagi kapal jenis korvet itu menjelang 2023.

LAKSAMANA PENCEN, Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya