SAUDARA PENGARANG,
DIHARAPKAN Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memulihkan kembali perkhidmatan tren elektrik (ETS) dari Gemas, Negeri Sembilan ke Arau, Perlis.
Ini kerana ramai dalam kalangan pelanggan setia yang selalu berulang-alik menggunakan ETS merungut apabila perkhidmatan tren yang serba-serbi moden dan laju serta mengikut jadual tepat ke destinasi yang dituju itu diberhentikan perkhidmatannya.
Kalau dahulu ETS menyediakan perkhidmatannya dua kali sehari iaitu sebelah pagi dan lewat petang, kini langsung tidak beroperasi sejak merebaknya Covid-19 ke seluruh negara.
Apabila situasi Covid-19 semakin pulih dan aktiviti rentas negeri kembali dibenarkan, wajar sekali ETS dipulihkan semula khususnya untuk faedah pelanggan setia.
Ia juga boleh digunakan oleh pelancong tempatan ke Pulau Langkawi yang kembali dibuka untuk pelanggan domestik.
Sewajarnya ETS dari Gemas ke Arau dipulihkan kerana ia berpotensi mendapat sambutan seperti dahulu apabila tiket terpaksa ditempah berminggu-minggu lebih awal kerana selalu kehabisan.
SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL, Seremban, Negeri Sembilan.