SAUDARA PENGARANG,
DI Malaysia, demokrasi adalah sesuatu yang diperkenalkan kepada kita sebagai prasyarat mencapai kemerdekaan.
Pada umumnya, kita menerima dengan baik dan bersikap terbuka tentang apa jua pandangan berkaitan kelompangan demokrasi. Keberkesanan demokrasi dipertikaikan dari semasa ke semasa dari pelbagai sudut.
Ramai beranggapan Parlimen berada di bawah telunjuk eksekutif atau jemaah menteri. Parlimen sering dilabelkan sebagai alat eksekutif untuk menghalalkan atau memberi kesahan tentang apa yang badan eksekutif ingin lakukan.
Parti politik yang menguasai Dewan Rakyat juga berada dalam kedudukan yang boleh menentukan usul dan rang undang-undang mana yang ingin dibawa untuk diluluskan di Parlimen.
Tidak ada undang-undang atas nama kerajaan boleh dibawa ke Parlimen tanpa terlebih dahulu mendapat kelulusan jemaah menteri.
Rang undang-undang persendirian juga hendaklah terlebih dahulu mendapat persetujuan menteri yang bertanggungjawab terhadap bidang kuasa rang undang-undang tersebut. Begitulah besarnya kuasa eksekutif ke atas kuasa legislatif.
Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan juga Dewan Negara turut memberi keutamaan untuk mendahulukan urusan kerajaan. Hal ini dinyatakan dalam Peraturan 15 berkaitan susunan urusan mesyuarat dewan.
Keistimewaan tersebut memberikan cengkaman kepada eksekutif untuk mengawal Parlimen dan diterima sebagai alat operasi Parlimen yang statusnya tidak boleh dicabar di mahkamah.
Dalam pada itu, sekiranya reformasi Parlimen benar-benar ingin dilakukan, peranan Dewan Rakyat dan Dewan Negara harus diteliti semula.
Cita-cita asal Dewan Negara adalah untuk memastikan kepentingan negeri tidak disisihkan dalam apa jua keputusan Kerajaan Persekutuan selain bertindak sebagai forum orang awam yang berpengalaman memanfaatkan kebijaksanaannya untuk menyelesaikan persoalan-persoalan penting rakyat yang dihadapi negara.
Namun, ahli Dewan Negara yang mewakili negeri jarang menggunakan kedudukannya sebagai medan berhujah antara Kerajaan Pusat dan negeri. Ahli Dewan Negara dikatakan tidak mengundi mengikut sebagaimana aspirasi negeri tetapi lebih mengikut pandangan parti politik.
Dewan Negara sepatutnya kembali kepada tujuan asalnya dengan melantik individu yang pada hemat Yang di-Pertuan Agong telah berbuat jasa kepada negara mengikut bidang kepakaran masing-masing.
Tetapi kelompok tersebut tidak ramai yang diberikan tempat sebaliknya wujud kecenderungan melantik orang politik ke Dewan Negara. Dewan Negara adalah dewan tertinggi tetapi bidang kuasa legislatif dewan tersebut mempunyai kuasa yang terhad.
Hal ini kerana lantikan ahli Dewan Negara tidak dianggap sebagai mewakili suara rakyat sebagaimana ahli Dewan Rakyat yang dipilih menerusi pilihan raya.
Justeru, bagi mengembalikan peranan lebih berkesan sepertimana Senat di Amerika Syarikat, maka dicadangkan agar ahli Dewan Negara juga dipilih menerusi undi popular.
Calon ahli Dewan Negara yang mewakili negeri boleh bertanding atas tiket parti politik, manakalah calon bukan ahli politik boleh menawarkan diri atas tiket kepakaran masing-masing mengikut kawasan pilihan raya yang bakal diwujudkan khas untuk Dewan Negara.
Selain itu, akta antilompat parti juga wajar disegerakan. Sekiranya Parlimen ingin bergerak menjadi badan perundangan kelas pertama, tindakan melompat parti tidak patut dijadikan amalan ahli Dewan Rakyat.
Selepas dipilih rakyat dalam pilihan raya, tindakan melompat parti jelas membelakangkan amanah diberikan pengundi. Tindakan itu boleh dianggap pengkhianatan terhadap demokrasi seterusnya merosakkan imej Parlimen itu sendiri.
DR. ILYAS ABDULLAH, UiTM Pahang Kampus Raub.