SAUDARA PENGARANG,
TERBACA satu laporan akhbar berkaitan seorang jurutera kimia tidak dibenarkan merentas negeri untuk pulang menziarahi orang tuanya yang uzur di kampung. Disebabkan tertekan dengan keadaan tersebut, lelaki berkenaan bertindak memecahkan cermin hadapan Masjid Taman Scientex di Pasir Gudang, Johor Bahru sehingga membawa kepada kematian.
Difahamkan, kematian lelaki berkenaan disebabkan kecederaan luka di bahagian pergelangan tangan kanan dan kaki kanan.
Pada hemat saya, tindakan pihak keselamatan yakni Polis Diraja Malaysia (PDRM) amatlah dikesali. Bukan sekali malah kerap kali perkara sama berlaku dan amat tragis kerana seorang anak tidak dapat menatap wajah orang tuanya dari dekat.
Meskipun suatu peraturan atau prosedur yang harus dipatuhi oleh setiap pemohon, namun wajar pihak berkuasa meletakkan asas pertimbangan kemanusiaan atau melalui budi bicara berdasarkan keterangan pemohon kerana ini soal antara hidup dan mati sebuah keluarga.
Pernah berlaku di tempat saya sendiri apabila seorang penjawat awam kanan yang bertugas di Putrajaya dihalang untuk pulang ke kampung halaman walaupun berkali-kali keluar masuk balai polis untuk membuat rayuan. Akhirnya kebenaran diberikan tetapi dengan bersyarat, iaitu satu hala sahaja.
Ketika pandemik Covid-19 masih memuncak boleh menyebabkan seseorang mengalami depresi berlebihan dan jikalau keadaan tidak boleh dikawal, maka individu berkenaan cenderung untuk mengambil tindakan tidak sewajarnya seperti membunuh diri dan sebagainya.
Oleh itu, pihak berkuasa perlu bijak membuat pertimbangan berdasarkan hujah dan bukti yang dikemukakan oleh pemohon serta bagi kes-kes kecemasan sahaja.
CUCU TOK JANGGUT, Bayan Mutiara, Pulau Pinang