SAUDARA PENGARANG,
TERDAPAT laporan akhbar baru-baru ini mengenai wakil rakyat di Kelantan yang mengeluarkan kenyataan seolah-olah golongan gelandangan dan pesakit mental lebih sesuai dibiarkan terus tinggal dalam persekitaran kotor.
Hanya mereka yang tidak dapat menerima gelandangan dan bermasalah kesihatan mental akan memberi komen teruk terhadap golongan ini.
Lagi hina apabila mereka mempunyai pandangan golongan yang ditindas oleh sistem sebagai makhluk yang boleh tahan pada suasana kotor dan makan makanan tercemar.
Golongan gelandangan dan pesakit mental perlu dilindungi oleh kerajaan. Kebajikan mereka harus dijaga oleh wakil-wakil rakyat termasuklah mereka yang diundi untuk menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan.
Adalah lebih baik kalau wakil rakyat berkenaan mula berfikir bagi mencari punca golongan ini yang sehingga kini masih dipinggirkan dalam masyarakat.
Kekurangan dalam sistem sokongan dan birokrasi yang menyusahkan rakyat juga menambahkan keperitan kepada golongan gelandangan dan pesakit mental.
Perlu juga diingat, sistem sosial dan ekonomi kita lebih berpihak kepada golongan yang tidak mengalami kekurangan upaya dan sihat kesihatan mental.
Hal ini berlaku kerana negara ini berpegang kepada sebuah sistem ekonomi yang menindas rakyat semata-semata untuk meraih keuntungan dan menilai seseorang dari kaca mata produktiviti.
Sistem yang kita hidup hari ini meminggirkan seseorang apabila keuntungan tidak dapat dijana daripadanya sehingga menyebabkan individu terbabit menjadi gelandangan, menganggur dan terdedah kepada pelbagai bentuk diskriminasi.
Kita harus bersolidariti bersama golongan ini, bukan menghina atau menjadikan mereka sebagai sumber motivasi yang tidak harus dicontohi.
Setiap manusia berhak dilayan secara bermaruah dan layanan sama harus diberikan kepada golongan gelandangan dan pesakit mental.
LALITH KUMAR DAN YAP XIN YIT, Kuala Lumpur.