Kekalkan amalan kerja secara hibrid - Utusan Malaysia

Kekalkan amalan kerja secara hibrid

PEKERJA wanita berkeluarga amat berharap amalan bekerja secara hibrid diteruskan. – UTUSAN/ MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

IMPLIKASI pandemik turut mengubah norma bekerja rakyat Malaysia. Kerajaan telah mengambil inisiatif memperkenalkan dasar bekerja yang lebih ­ fleksibel iaitu secara hibrid.

Amalan bekerja norma baharu ini dilihat semakin diterima majikan dan pekerja khususnya sektor kerajaan walaupun ia agak mencabar di awal pelaksanaannya.

Ini kerana di bawah Akta Kerja 1955, ia sememangnya sinonim kepada amalan bekerja secara normal di mana pekerja berada sepenuhnya di pejabat dan secara bersemuka.

Terkini timbul persoalan, adakah pelaksanaan amalan dengan keberadaan pekerja di rumah dan di pejabat wajar diteruskan setelah pandemik berakhir?

Dari aspek keperluan, situasi pandemik global dengan kewujudan varian berbahaya seperti Delta yang cepat merebak memberi justifikasi kukuh agar amalan bekerja secara hibrid diteruskan bagi membantu kerajaan mengawal penularan virus terbabit.

Selain itu, usaha ini dilihat signifikan bagi membantu majikan dalam mengutamakan aspek kesihatan dan keselamatan seperti digariskan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Langkah ini amat penting disebabkan sektor kerja masih menjadi antara penyumbang utama kepada kes pandemik di negara ini.

Terdahulu, elemen fleksibiliti dalam konteks pekerjaan di Malaysia sememangnya bukan lagi baharu setelah ia diperkenalkan pada 1998 di bawah konsep waktu kerja secara berperingkat disusuli waktu kerja ­ fleksi pada 2019 melibatkan seluruh agensi kerajaan.

Namun, pembabitan sektor swasta yang sebelum ini dilihat kurang memberangsangkan kini menampakkan langkah positif dengan penyertaan beberapa syarikat yang turut mengambil inisiatif memperkenalkan amalan bekerja secara hibrid.

Ini dibuktikan melalui tinjauan Indeks Trend Pekerjaan oleh syarikat Microsoft di mana 66 peratus syarikat mula mempertimbangkan untuk melaksanakan amalan bekerja secara hibrid.

Hasilnya, syarikat seperti Nestle (Malaysia) Berhad mula mengorak langkah dengan membangunkan amalan bekerja secara hibrid bagi menghadapi cabaran pandemik pada masa hadapan selain mengimbangi keperluan kerja dan kehidupan pekerja.

Sementara itu, dari aspek kehendak pekerja, hasil tinjauan sama menunjukkan 77 peratus pekerja di Malaysia mahu amalan bekerja secara ­ fleksibel ini diteruskan.

Statistik ini diperkukuhkan melalui EY 2021 Work Reimagined Employee Survey di mana hanya 22 peratus pekerja Malaysia mahu bekerja di pejabat sepenuh masa.

Ini secara tidak langsung memberi gambaran majoriti pekerja di Malaysia sememangnya mahukan amalan bekerja secara hibrid diteruskan khususnya dalam kalangan pekerja wanita berkeluarga yang amat memerlukan keseimbangan kehidupan dan kerja.

Faktor utama disebabkan mereka perlu menguruskan hal rumah tangga termasuk memantau pembelajaran dalam talian anak-anak dan pada waktu sama memberi komitmen kepada kerja.

Justeru, mengambil kira justifikasi situasi pandemik yang masih berlarutan, kesediaan syarikat dan kehendak pekerja maka dasar amalan bekerja secara hibrid wajar diteruskan oleh kerajaan.

DR. MUHAMMAD AIMAN ARIFIN, UiTM Kampus Arau, Perlis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya