Kejut persatuan sukan dari lena - Utusan Malaysia

Kejut persatuan sukan dari lena

AHMAD Faizal Azumu (tengah) bersama Reezal Merican Naina Merican dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (kanan) menyambut ketibaan atlet Paralimpik di Sepang, Selangor pada 3 September lalu. – UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BELUM terlambat rasanya untuk mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baharu. Jawatan itu memberi cabaran tersendiri kepada beliau pastinya.

Sebelum itu, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Khairy Jamaluddin memegang jawatan tersebut.

Ahmad Faizal mengambil alih jawatan itu dalam situasi negara bergembira dengan kejayaan atlet kita dalam Sukan Olimpik dan Paralimpik di Jepun.

Tentulah kejayaan itu hasil usaha gigih menteri-menteri sebelum beliau. Ahmad Faizal kena pandang ke hadapan, iaitu bagaimana menambah ramuan dan perancangan lebih baik untuk bidang belia dan sukan.

Pencapaian atlet kita yang dikira memuaskan dalam dua kejohanan itu perlukan suntikan tambahan.

Pastinya pihak berkuasa sukan di negara kita perlu membuat bedah siasat, mengkaji kelebihan dan kekurangan bagi mengangkat atlet kita supaya lebih berjaya di Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris, tiga tahun dari sekarang.

Kita tidak mahu kesilapan teknikal yang melanda Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru berulang pada masa hadapan.

Persiapan dan persediaan atlet perlu terancang dan teliti, baik sebelum mahupun semasa pertandingan.

Yang pasti, kejayaan atlet kita baru-baru ini mampu memberi inspirasi dan pemangkin kelahiran lebih ramai lagi atlet seperti Azizulhasni Awang, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Abdul Latif Romli dan Cheah Liek Hou, sekadar menyebut beberapa nama.

Lihat bagaimana jurulatih badminton, Datuk Rashid Sidek berjaya membentuk Liek Hou daripada seorang pemain beregu menjadi seorang pemain perseorangan yang sungguh mantap dalam masa tidak lama.

Persatuan sukan perlu lebih peka dan bersungguh-sungguh mencungkil bakat baharu dan menggilap bakat sedia ada.

Persatuan kurang menyerlah, perlu dikejutkan daripada lena. Kenal pasti potensi atlet dan berikan segala kemudahan dan kepakaran yang diperlukan kepada mereka.

Di sinilah Ahmad Faizal perlu berperanan dalam Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi membantu meningkatkan profesionalisme persatuan sukan, memantau persedian atlet dan melihat perjalanan Majlis Sukan Negara serta Institut Sukan Negara.

Beliau perlu turun padang dan melihat secara lebih dekat persiapan dan jentera sukan di pelbagai peringkat.

Jangan segan-segan untuk menegur dan memberi nasihat berguna kepada mereka.

Ahmad Faizal perlu menekankan per­satuan sukan supaya mempunyai misi jelas dan pemimpinnya jangan selesa di kerusi empuk persatuan.

Mereka ada tanggungjawab besar kepada persatuan, atlet dan negara.

Sukan seperti hoki, renang, memanah, menembak dan angkat berat, perlu diberi nafas baharu dan mengubah paradigma mereka.

Cerita kegagalan sudah menjadi basi dan memualkan. Perubahan perlu dilakukan.

Ada tiga tahun lagi menuju ke Paris. Belum terlambat untuk KBS dan persatuan sukan mengorak langkah bestari bagi membutirkan kilauan emas pada temasya akan datang.

MUSTAFFA SIRAJ, Batu Pahat, Johor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya