SAUDARA PENGARANG,
TULAR di laman sosial berkaitan satu lagi ajaran sesat iaitu Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) diketuai seorang wanita berusia 39 tahun yang menggunakan gelaran Sittah Annur.
Difahamkan, ajaran itu dikesan sejak enam bulan lalu menggunakan medium media sosial seperti Facebook, Youtube dan Telegram untuk berkongsi pelbagai ramalan.
Ajaran seperti ini selalunya mudah mempengaruhi mereka yang ingin berubah untuk menjadi lebih baik tetapi salah memilih guru. Malah ajaran mereka lebih menarik minat seseorang untuk mendalami sesuatu ilmu.
Kisah-kisah menyentuh hati seperti perubahan artis atau instafamous ke arah kebaikan sedikit sebanyak menjentik banyak pihak untuk berubah, namun mungkin ada dalam kalangan mereka segan untuk mendapatkan tunjuk ajar daripada pihak bertauliah sehingga memilih untuk belajar tentang agama melalui video-video yang belum tentu disahkan kesahihannya.
Ekoran sifat jahil dan kurangnya ajaran Islam dalam diri menyebabkan mereka terpanggil untuk menonton video-video ajaran tersebut dan akhirnya menjadi pengikut ajaran sesat.
Atas sebab inilah kandungan di media sosial perlu dikawal secara ketat kerana acap kali dijadikan medium penyebaran ajaran sesat oleh sesetengah pihak. Lebih-lebih lagi melalui kelebihan media sosial dan internet memudahkan lagi penggerak ajaran sesat ini memperluaskan ajarannya di seluruh negara.
Sedangkan mereka yang berusia pun mudah terpengaruh, apatah lagi kanak-kanak dan remaja? Saya percaya sesuatu perlu dilakukan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia bersama Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan tidak berkompromi terhadap usaha mempromosi ajaran sesat. Kita tidak mahu generasi muda terpedaya dengan dakyah yang boleh merosakkan akidah mereka.
Justeru, umat Islam perlu menggunakan akal fikiran dengan bijak selain memantapkan akidah dengan tidak sewenang-wenangnya terpedaya dengan ajaran yang menyimpang daripada ajaran Islam.
Sekiranya mahu berubah, maka dinasihatkan mendapatkan pandangan dan ajaran daripada pihak yang ditauliahkan oleh Jabatan Agama Islam dan jika mahu mendengar ceramah, pastikan penceramah itu juga seorang yang bertauliah.
NAZ KHALID, Bagan Serai, Perak.