SAUDARA PENGARANG,
NEGARA kita baharu sahaja menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-64 pada 31 Ogos lalu. Bagaimanapun, amat menyedihkan apabila kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Purut di Kuala Lipis, Pahang masih lagi berada dalam keadaan daif dan uzur.
Seperti diketahui umum, kantin merupakan tempat bagi menyediakan makanan dan minuman kepada guru dan murid. Di sini jugalah tempat guru dan murid menikmati makanan pada waktu rehat dalam keadaan menyedihkan.
Sekiranya diamati, ia bukanlah sebuah kantin sebenar seperti sekolah lain. Ini asalnya taman sains dan diselenggara secara ala kadar. Keadaan siling juga sudah reput dimakan anai-anai dan boleh jatuh pada bila-bila masa. Tempat memasak juga tidak selesa dan sempit. Pengudaraan kantin juga tidak sempurna.
Sudah sampai masanya kantin ini dibina baharu. Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) perlu turun padang melihat kedaifan kantin dan mengambil tindakan segera membantu menyelesaikan isu ini.
Sekiranya keadaan ini tidak diperbaiki dengan segera, boleh mengundang bahaya dan kemalangan.
Keselamatan pelajar, guru dan semua kakitangan sokongan di sekolah ini amat penting dan bernilai. Justeru, tindakan segera wajar diambil bagi memberi keselesaan kepada mereka ketika waktu rehat.
MURID TUA, Kuala Lipis, Pahang