SAUDARA PENGARANG,
SAYA terbaca laporan dalam akhbar dan media sosial berhubung desakan untuk membuka kembali sekolah ekoran masalah tekanan mental sama ada dihadapi pelajar mahupun ibu bapa.
Saya akui ramai berdepan masalah tersebut lebih-lebih lagi dalam memupuk kesabaran mengajar anak-anak di rumah, namun situasi semasa penularan pandemik Covid-19 di negara ini masih mencatatkan angka yang tinggi.
Kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) tidak boleh diragui dengan mencatat sebanyak 352,649 atau 85.41 peratus guru menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin sehingga 7 Ogos lalu. Ini bermakna sehingga hari ini jumlah guru menerima dos lengkap vaksin sudah bertambah.
Ekoran itu, desakan demi desakan meminta Kementerian Pendidikan membuka kembali sesi persekolahan yang hanya tinggal lagi beberapa bulan sebelum ke tahun baharu. Pun begitu, saya berharap kementerian dapat menilai risiko ke atas pelajar yang tidak mendapat sebarang perlindungan vaksin sekiranya sekolah dibuka.
Kita tidak pasti sama ada kesemua ibu bapa pelajar sudah menerima dos lengkap atau tidak. Mungkin ada dalam kalangan mereka memilih untuk tidak divaksin dan ini memberi risiko kepada pelajar. Malah seseorang yang lengkap dua dos vaksin juga boleh menerima jangkitan Covid-19. Kejadian beberapa kluster di sekolah wajar menjadi pengajaran.
Topik ini pernah dibincangkan dalam kumpulan Whatsapp sekolah iaitu antara ibu bapa dan guru dengan hampir 100 peratus tidak bersetuju untuk menghantar anak ke sekolah. Malah ada juga dalam kalangan guru menyuarakan kerisauan yang sama.
Agak mustahil cadangan seperti penggiliran pelajar ke kelas. Ini akan menyebabkan kekeliruan terutama ketika sesi pembelajaran dan akan menyebabkan pelajar, guru dan ibu bapa lebih tertekan. Ia akan lebih menyukarkan sekiranya ibu bapa sudah kembali bekerja ke pejabat untuk menyusun jadual.
Pandangan saya, biarlah sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dilanjutkan sehingga hujung tahun melainkan pelajar yang perlu mengambil ujian penting seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).
Dalam apa jua pelan pendidikan yang dirangka oleh kementerian, diharap dapat meletakkan kepentingan kesihatan pelajar sebagai keutamaan.
LIYANA ARSHAD, Kuala Lumpur