SAUDARA PENGARANG,
WUJUD kepercayaan dalam kalangan masyarakat Islam tentang kewujudan sial apabila banyak pantang larang dan tindakan yang tidak boleh dilakukan dalam bulan Safar. Ini kerana bulan ini dikaitkan dengan turunnya bala dan bencana serta perkara-perkara tidak baik. Bahkan dikaitkan dengan kecelakaan dan keburukan khususnya pada hari Rabu terakhir.
Kita mesti pernah mendengar permintaan agar ‘mandi Safar’ bagi menolak bala atau larangan dalam kalangan orang tua-tua agar tidak melangsungkan pernikahan dalam bulan ini kerana boleh menyebabkan perpisahan pada masa akan datang. Kepercayaan ini bukan sahaja wujud dalam kalangan masyarakat Islam tetapi sejak zaman jahiliyyah lagi.
Janganlah kita kembali beranggapan akan berlaku peningkatan jangkitan Covid-19 lebih besar dan keadaan bertambah teruk apabila hadirnya bulan Safar. Tambahan pula, apabila berada pada hari Rabu terakhir dalam bulan tersebut yang dikatakan lebih banyak bencana dan keburukan akan berlaku yang mungkin meningkatkan lagi jumlah jangkitan. Kepercayaan ini sewajarnya tidak wujud dalam kalangan orang Muslim beriman. Kita sebagai hamba Allah SWT perlu meletakkan kebergantungan dan tawakal kepada-Nya sahaja selepas berusaha.
Amalan-amalan yang bersifat kepercayaan karut yang tiada asasnya atau bertentangan dengan fitrah wajar ditinggalkan walaupun atas nama adat dan budaya kerana ia bercanggah dengan syariat.
Mungkin kita boleh mengambil pengajaran daripada penganut Hindu di India yang percaya kepada kesucian Sungai Ganga dan menganggapnya sebagai mulia. Mereka menggunakan sungai tersebut untuk menyucikan diri, mandi menghilangkan kesialan dan pelbagai upacara keagamaan sehingga akhirnya sebanyak 1,700 kes positif disahkan selepas lima hari ujian dijalankan. Apabila kematian meningkat secara mendadak sehingga proses membakar mayat tidak lagi mampu diuruskan, akhirnya mayat dibuang ke dalam Sungai Ganga. Jadi, bagaimana untuk meletakkan kepercayaan kepada kesucian dan faedah sungai tersebut?
Oleh itu, bulan Safar bukanlah bulan pembawa sial dan begitu juga dengan penularan wabak pandemik Covid-19 bukanlah sebagai bala tetapi ujian daripada Allah SWT kepada semua hamba-Nya. Ujian ini untuk mendidik manusia berfikir mencari penyelesaiannya, bersabar dalam menghadapinya, bekerjasama, meneruskan keteguhan dalam ibadah dalam suasana berbeza dan terus sentiasa mengingati serta berdoa kepada Allah SWT memohon pertolongan-Nya.
PROF. MADYA DR. KHADHER AHMAD & DR. SHAFIZA SAFIE