SAUDARA PENGARANG,
PENULARAN Covid-19 yang semakin berleluasa kini berada pada tahap membimbangkan. Tambahan pula, Kementerian Kesihatan mengesan varian-varian berbahaya termasuklah kategori varian yang membimbangkan (VOC) dan varian berkepentingan (VOI).
Jenis varian virus yang menular dan menyebabkan jangkitan dapat dikesan melalui kaedah penjujukan genom. Kaedah ini merupakan pembacaan genom RNA yang dilakukan oleh mesin khas untuk mengenal pasti varian virus. Proses ini bermula dengan kaedah penyampelan nasopharyngeal (penyampelan dari hidung) ataupun oropharyngeal (penyampelan dari mulut).
Kandungan genom RNA adalah umpama ‘peta’ yang mengandungi maklumat terperinci tentang sesuatu virus. Maklumat yang terkandung dalam genom RNA terdiri daripada empat nukleutida iaitu A, U, G dan C. Setiap varian virus mengandungi susunan ataupun kombinasi neuklotida yang unik dan membentuk genom RNA.
Apabila sampel dimasukkan ke dalam mesin bagi penjujukan genom, pembacaan susunan nukleotida yang membentuk RNA genom bermula sehinggalah pembacaan peta genom RNA bagi virus tersebut selesai.
Virus Covid-19 mempunyai 845 nukleotida. Oleh itu, bagi penjujukan genom adalah setelah 845 nukleotida dibaca. Saintis menggunakan data ini untuk mengenal pasti varian yang dijujuk.
Kewujudan konsortium yang diumumkan Kementerian Kesihatan sebelum ini dilihat dapat memudahkan koordinasi dan pengumpulan data jujukan genom. Projek yang melibatkan dana sebanyak RM30 juta itu akan menganalisa kira-kira 3,000 sampel dalam masa tiga bulan.
Penjujukan genom secara kerap membolehkan kerajaan mengenal pasti kawasan hotspot atau superspreader yang disebabkan oleh jangkitan varian Covid-19. Ia juga boleh memastikan sama ada setiap kluster jangkitan mempunyai kaitan antara satu sama lain atau tidak. Maklumat ini sangat berguna kepada pihak kesihatan awam untuk aktiviti pengesanan kontak dan memastikan langkah pencegahan yang lebih bersasar.
Penjujukan genom yang berterusan dapat membantu penyelidik mengesan kehadiran varian baharu dengan lebih awal. Sebarang gejala, keterukan jangkitan dan respon terhadap rawatan bagi setiap varian juga dapat ditentukan selain membantu proses rawatan pesakit. Di samping itu, penjujukan genom boleh mengenalpasti keberkesanan vaksin terhadap varian dan memberi informasi untuk penghasilan ubat atau vaksin baharu.
LIYANA AZMI & PROF. MADYA DR. NURUL AZMAWATI MOHAMED, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia