SAUDARA PENGARANG,
RASULULLAH SAW diutuskan oleh Allah SWT sebagai rahmat yang mana kehadiran baginda bukan sahaja untuk membimbing manusia tetapi membawa kebahagiaan kepada seluruh kehidupan.
Rasulullah SAW mendidik kita menjadi sebaik-baik hamba dengan memperlihatkan pengurusan keluarga bahagia, menzahirkan cara hidup bermasyarakat malah mengetuai negara secara adil dan sejahtera.
Marilah bermuhasabah dan merenung kembali dan buktikan cinta yang tidak pernah padam kepada baginda.
Jika benar kita mengaku mencintai susuk tubuh yang mulia ini, sudah pasti setiap jejak peninggalan dan pedomannya dipegang seutuhnya. Setiap aspek kehidupan, baik dari sudut sosial, ekonomi atau politik hendaklah berpandukan praktik atau amalan Rasulullah SAW semata-mata kerana ia merupakan sebaik-baik pendekatan.
Satu lagi tanda kita mencintai seseorang adalah sentiasa menyebut namanya, maka berselawatlah. Selawat ke atas Rasulullah SAW bukan hanya sebagai pujian umat Islam kepada baginda, tapi juga tanda merealisasi rasa pengagungan kerana kedudukannya yang tinggi di sisi Allah SWT.
Agak janggal apabila sebilangan daripada kita beranggapan sunah dan gaya hidup yang ditinggalkan Rasulullah SAW sudah tidak relevan kerana perubahaan zaman moden atau situasi semasa.
Cinta itu bukan sekadar retorik tetapi harus dibuktikan sama ada melalui ingatan mahupun menuruti apa yang dikehendaki. Pendidikan secara tidak formal sebenarnya bermula dari rumah di mana medium pertama bagi anak-anak menerima pendedahan ilmu dan adab. Oleh itu, didiklah anak-anak seawal usia mereka dengan menyuburkan rasa cinta kepada Allah SWT dan Rasul-Nya.
Ajarkanlah anak-anak dengan sirah dan kisah para sahabat Rasulullah SAW. Kenalkan mereka dengan tokoh-tokoh ulung yang tercatat dalam sejarah Islam. Metodologi pendidikan keibubapaan yang terbaik sudah pastinya dapat dilihat daripada pendekatan Rasulullah SAW. Baginda pernah bersabda yang bermaksud: “Didiklah anak-anakmu atas tiga perkara – mencintai nabimu, mencintai ahli baitnya dan membaca al-Quran.”
Berdasarkan petikan hadis di atas, ibu bapa perlu memainkan peranan utama dalam mendidik anak supaya dapat melahirkan generasi seimbang dari aspek fizikal, mental dan rohani. Inilah sepatutnya antara hikmah yang boleh kita ambil daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijalani sejak Mac 2020.
Seharusnya kita telah meluangkan masa yang penuh berkualiti dengan mencipta momen indah bersama keluarga tercinta dalam membudayakan sunnah Rasulullah SAW demi menzahirkan cinta kita kepada baginda.
MUHAMAD ARIF ASNAWI MAT ZAKI & DR. MOHD. SYUKRI ZAINAL ABIDIN, Universiti Malaya