SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan untuk mengehadkan pengeluaran lesen memandu kepada warga emas berusia 70 tahun kerana kajian pihaknya mendapati golongan itu menjadi penyumbang kepada kemalangan jalan raya.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, masalah kesihatan dihadapi pemandu berusia seperti penglihatan tidak jelas boleh menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya.
Oleh itu, warga emas perlu menjalani pemeriksaan doktor dan mendapat surat pengesahan bahawa mereka sihat untuk memandu sebelum dibenarkan memperbaharui lesen memandu.
Saya sama sekali tidak setuju dengan cadangan PDRM ini. Jika syarat itu dilaksanakan, ia akan menyusahkan ramai warga emas yang menggunakan kereta atau motosikal untuk pelbagai tujuan.
Sebaliknya, saya bersetuju dengan kenyataan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong baru-baru ini bahawa langkah untuk menarik semula atau mengehadkan pengeluaran lesen memandu kepada warga emas berusia 70 tahun ke atas hanya akan menjadi pilihan terakhir selepas didapati mereka tiada keupayaan memandu.
Di samping nasihat daripada anak, cucu dan rakan supaya jangan memandu jika mata tidak nampak dan telinga tidak dengar, mereka juga masih boleh menggunakan budi bicara sendiri sebelum memandu kenderaan.
Jangan kerana beberapa kes kesalahan jalan raya, kita hendak menghukum semua warga emas yang berkemampuan dan cekap memandu.
Kita harus sedar, ramai warga emas di kampung menggunakan motosikal untuk ke sawah, kebun getah dan kelapa sawit serta dusun buah-buahan bagi mencari rezeki.
Sanggupkah kita melihat mereka memandu kereta atau menunggang motosikal tanpa lesen untuk meneruskan kelangsungan hidup?
RAMLI ISMAIL, Kangar, Perlis.