Jangan biar si gemuk miskinkan rakyat - Utusan Malaysia

Jangan biar si gemuk miskinkan rakyat

Kajian berhubung gaji minimum sedang dijalankan oleh Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Negara yang ditubuhkan oleh Majlis Perundingan Gaji Negara. -GAMBAR HIASAN/UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SESIAPA yang ingin meringankan beban ekonomi ditanggung rakyat biasa mesti memahami faktor-faktor utama yang memiskinkan penduduk kita.

Malangnya, ramai penganalisis di Malaysia telah pun dikelirukan oleh Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Kedua-dua agensi ini memesongkan isu sebenar dengan berhujah bahawa produktiviti pekerja kita rendah dan kita harus menumpukan kepada latihan pekerja.

Pakar-pakar ini yang merupakan jurucakap syarikat multinasional (MNC) menasihatkan negara seperti Malaysia untuk lebih mesra kepada perniagaan dan meteraikan lebih banyak perjanjian perdagangan yang berpihak kepada syarikat kapitalis gergasi antarabangsa itu.

Usaha Bank Dunia dan IMF yang ‘memperbodohkan’ kita harus didedahkan. Kita harus mengkaji secara lebih mendalam untuk memahami siapa yang mengaut keuntungan daripada hasil titik peluh pekerja kita.

Kita mesti mengenal pasti pihak-pihak yang melakukan pemerasan terhadap rakyat kita dan cara-cara mereka melakukannya. Barulah kita dapat mengaturkan strategi jangka masa pendek dan panjang untuk mengatasinya.

Salah satu faktor yang memiskinkan rakyat adalah tindakan MNC mewujudkan rantaian bekalan barangan global yang memeras kekayaan daripada negara-negara sedang membangun.

‘Si gemuk’ di tengah-tengah ialah MNC yang mewujudkan rantaian bekalan barangan global dengan menyumber luar pembuatan ke negara-negara sedang membangun.

MNC memeterai persetujuan dengan syarikat kapitalis tempatan untuk membekalkan mesin dan teknologi kepada syarikat terbabit untuk mengeluarkan barangan tertentu.

MNC melakukan ini kerana boleh memperoleh barangan yang dibuat di Bayan Lepas atau di Ho Chi Minh pada harga satu per lapan daripada kilang di California, Amerika Syarikat (AS).

Oleh kerana kos pembuatan barangan dapat dikurangkan tetapi harga jualan di pasaran AS dan Eropah tetap pada harga asal, MNC dapat melipatgandakan keuntungannya.

Jika syarikat kapitalis tempatan di Bayan Lepas mendesak untuk mendapat harga lebih munasabah bagi barangan dikeluarkannya, MNC akan mengugut untuk memindahkan tempahan ke Vietnam.

Dengan cara mempermainkan syarikat kapitalis tempatan di setiap negara, MNC boleh memastikan harga barangan itu tetap rendah.

Syarikat kapitalis tempatan pula mendesak kerajaan Malaysia memastikan gaji minimum di paras rendah dan membenarkan kemasukan ratusan ribu pekerja asing dengan alasan supaya kita dapat bersaing dengan Vietnam dan Thailand bagi mendapat lebih banyak pelaburan langsung asing.

Niat sebenar syarikat kapitalis tempatan adalah supaya gaji pekerja dapat ditekan ke paras lebih rendah dan mereka mendapat untung lebih besar sedikit.

Fenomena ini yang digelar sebagai penekanan gaji ke paras yang rendah menyebabkan pekerja mendapat gaji sedikit dan tidak mampu menyimpan wang untuk masa depan mereka.

Buktinya, perangkaan pada 2020 menunjukkan 50 peratus pekerja kilang di Malaysia mendapat gaji kurang pada RM1,615 sebulan iaitu di bawah garis kemiskinan negara sebanyak RM2,206 sebulan.

Marilah bersama-sama kita untuk mewujudkan masyarakat Malaysia yang lebih adil dan harmoni.

DR. JEYAKUMAR DEVARAJ, Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya