SAUDARA PENGARANG,
KERAJAAN mengambil keputusan membuka semula sektor ekonomi agar kelangsungan hidup rakyat dapat diteruskan dan memastikan mereka tidak terus tertekan.
Namun, ia seolah-olah disalahgunakan oleh segelintir rakyat yang bertindak tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mencegah Covid-19, umpama pas kebebasan tanpa sempadan kepada mereka.
Walaupun kelonggaran diberikan terutama kepada individu yang telah lengkap dua dos vaksin, namun ia tidak menjamin mereka tidak dijangkiti wabak ini.
Tidak dinafikan kita telah lama berkurung di dalam rumah. Tetapi rakyat harus ingat, bukanlah bererti kita telah bebas daripada wabak ini. Ia hanyalah untuk memastikan sektor ekonomi dapat terus berjalan.
Baru-baru ini, kita menyaksikan ramai orang berkumpul di tepi pantai untuk melepaskan kebosanan setelah sekian lama terkurung.
Tetapi mengecewakan apabila segelintir individu tidak memakai pelitup muka, penjarakan fizikal langsung tidak diendahkan.
Bercuti atau melakukan aktiviti sosial tidak salah tetapi kita perlu menjaga SOP supaya tidak berlaku peningkatan kes dengan lebih drastik.
Tahun lalu, Malaysia mendapat pujian dari seluruh dunia apabila kita berjaya menurunkan kes Covid-19 dalam jangka waktu singkat.
Namun, pujian itu bertukar menjadi ejekan apabila jumlah kes harian melonjak dengan mendadak dan bilangan kematian meningkat menjadi tiga angka setiap hari.
Tahukah kita, akhbar luar negara pernah menggelar Malaysia sebagai Mini India disebabkan kegagalan kita dalam menangani wabak itu daripada terus menular?
Oleh itu, sekiranya kita mendapati sesuatu kawasan sesak, beredarlah dari situ. Jika ada yang tidak mengikut SOP, tegurlah dengan cara berhemah.
ZARINA BEGUM EBRAHIM, UiTM Kampus Melaka.