SAUDARA PENGARANG,
SAYA merupakan seorang penghuni Taman Guru Jaya, Kangar, Perlis. Sejak kebelakangan ini, syarikat Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK) yang terlibat mengelolakan pengosongan tangki najis di taman-taman perumahan begitu rancak sekali menjalankan kerja-kerja.
Namun, kerja-kerja penyedutan najis dilakukan pada waktu yang kurang sesuai iaitu antara pukul 11 pagi dan 12 tengah hari.
Pada waktu ini, ramai suri rumah sedang memasak. Disebabkan kebanyakan tangki najis terletak di bahagian belakang rumah iaitu berhampiran dapur, maka kerja-kerja itu tidak sesuai dilakukan pada waktu tersebut.
Dalam keadaan ancaman virus Covid-19, segala aspek kebersihan perlu diambil kira. Bukan sahaja penduduk bimbang ancaman pandemik tetapi juga penyakit-penyakit lain apabila berlaku pencemaran udara.
Adalah diharapkan IWK dapat memberi perhatian tentang jadual tugas pekerja mereka.
PENGHUNI TAMAN KECEWA, Taman Guru Jaya, Kangar, Perlis