SAUDARA PENGARANG,
SECARA peribadi, saya amat kesal dengan program siaran langsung menerusi sebuah laman portal yang cuba mengaitkan tiga pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) yang menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Dalam program tersebut mendedahkan ketiga-tiga pemimpin PH itu dipaksa menandatangani MoU bagi mengelakkan mereka ditangkap, membayar denda (akibat langgar SOP) dan kehilangan jawatan sebagai ahli Parlimen.
Hakikatnya, persetujuan tiga pemimpin tersebut dicapai sebagai menzahir dan menyokong saranan titah Yang di-Pertuan Agong untuk menerima gencatan politik demi kebaikan serta kepentingan rakyat dalam mengatasi keluk pandemik Covid-19.
Respons saya terhadap dakwaan tersebut, amatlah tidak wajar dan tidak munasabah sama sekali. Sepatutnya penulis portal tersebut patut berasa malu dengan tindakannya selama ini dan harus menghentikan kerja-kerja mengadu domba serta membuat pelbagai tuduhan malah dilihat turut mempunyai niat jahat.
Diharapkan orang ramai terutama umat Islam dapat menjauhkan diri serta tidak mudah percaya dengan apa yang disampaikan serta usah lagi termakan hasutan dan cerita berunsur fitnah dalam laman portal miliknya kerana dia dianggap sebagai pembohong dan kaki fitnah.
Terdahulu pemilik portal berkenaan bukan sahaja menghadapi pelbagai tuduhan dan dakwaan di mahkamah, malah bersikap bacul serta pengecut kerana sehingga hari ini tidak berani untuk pulang ke tanah air.
Tindakannya itu mungkin kerana menyedari akan akibat perbuatannya yang cuba menabur fitnah terhadap pemimpin-pemimpin politik yang akhirnya memakan diri dan mengundang padah.
Sekiranya dia di pihak yang benar, mengapakah harus takut dengan mengkritik serta memburukkan pemimpin tertentu dari jauh? Atau adakah terdapat kebarangkalian tindak-tanduknya yang bebas mencampuri urusan hal ehwal politik negara selama ini dilindungi oleh sekelompok pemegang taruh kuasa politik negara kita?
CUCU TOK JANGGUT, Bayan Mutiara, Pulau Pinang