SAUDARA PENGARANG,
AGAK sunyi suhu politik negara selepas Pakatan Harapan (PH) bersetuju menjalin kerjasama dengan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dalam memberikan perkhidmatan terbaik buat rakyat.
Walaupun rindu dengan kenyataan-kenyataan daripada pembangkang yang selalunya mengkritik kerajaan, namun langkah yang diambil PH amatlah murni dan perlu dipuji.
Akhirnya rakyat melihat kematangan dan keterbukaan dalam kalangan ahli politik yang tidak lagi hanya mementingkan kedudukan serta kuasa dalam kerajaan. Beberapa hari ini juga tiada kedengaran kenyataan provokasi yang menggugat keharmonian masyarakat pelbagai kaum.
Jika sebelum ini ahli politik di pihak kerajaan mahupun pembangkang seperti berperang mempertahan atau menafikan sesuatu kenyataan sehingga rakyat menjadi muak dan malas mengambil tahu tentang sesuatu perkara yang didebatkan.
Inilah yang sebernanya dinanti-nantikan oleh rakyat kerana melalui kemufakatan ini akan menjamin kestabilan ekonomi dan politik negara secara total kesan daripada pandemik Covid-19 berpanjangan.
Seperti kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semangat Keluarga Malaysia yang menekankan perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan inilah yang dizahirkan dalam memorandum persefahaman oleh kerajaan dan ahli politik pembangkang.
Diharap kerjasama politik merentasi kepartian ini akan menjadi semak dan imbang buat kerajaan dalam membuat, menggubal, meminda sesuatu polisi atau undang-undang.
RAFIZI, Kluang, Johor