SAUDARA PENGARANG,
MANDAT rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu masih lagi belum sampai tarikh luput, namun negara mencatatkan sejarah politik apabila berlakunya pertukaran Perdana Menteri sebanyak tiga kali.
‘Langkah Sheraton’ merupakan titik permulaan tercetusnya fenomena ke arah mekanisme baharu dalam melantik seorang Perdana Menteri.
Hal ini mungkin disebabkan politik yang berteraskan persepsi serta membangkitkan sentimen perkauman dan superioriti agama. Hakikatnya, ia menjadi punca kemusnahan sistem serta merosakkan kestabilan politik negara sekali gus melenyapkan prinsip demokrasi.
Politik sebegini boleh ditaksir dengan pelbagai senario, iaitu politik golongan hipokrit, oportunis dan cauvinis yang mengabaikan sifat-sifat kemanusiaan, nilai moral mahupun etika.
Malahan amat jauh sekali untuk membina kerangka tindakan dalam konteks pemikiran, integriti mahupun bersandarkan tingkah laku akauntabiliti.
Faktor kesetiaan kepada prinsip bukan lagi menjadi pendirian ahli dan pemimpin parti politik pada masa ini.
Pada masa sama, rakyat sudah tidak mahu lagi didendangkan sandiwara atau mainan wayang elitis politik yang mengheret campur tangan Yang di-Pertuan Agong dalam merungkai dan menyelesaikan konflik serta kemelut yang melanda politik negara. Sehingga hari ini, rakyat masih lagi terkesan akibat penularan pandemik Covid-19.
Pandangan saya, kesukaran seorang Perdana Menteri yang dipilih melalui suara majoriti ahli Dewan Rakyat ialah apabila kedudukan dan kuasa prerogatifnya terpaksa merujuk kepada semua fraksi secara en bloc bagi membentuk kerajaan.
Ia tentunya jauh berbeza bagi Perdana Menteri yang dipilih melalui mandat rakyatt kerana beliau tidak menghadapi sebarang rintangan ataupun masalah malah mempunyai kebebasan penuh tanpa boleh diganggu-gugat.
Malah menjadi kelebihan untuk memilih barisan anggota jemaah menteri tanpa sebarang desakan dan tekanan daripada mana-mana pihak.
MUZAKKIR IBADURRAHMAN, Kepala Batas, Pulau Pinang