SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, bekas pemain badminton Indonesia, Taufik Hidayat membuat tuduhan yang berat terhadap Persatuan Badminton Malaysia (BAM) apabila mendakwa dia cuba disogok oleh pegawai badan induk badminton negara pada Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar.
Memetik laporan yang disiarkan oleh sebuah portal berita, bekas pemain nombor satu dunia itu mendakwa telah ditawarkan wang suapan yang jumlahnya dua kali ganda lebih tinggi daripada bonus diberikan pemerintah Indonesia supaya tewas kepada Datuk Lee Chong Wei di separuh akhir.
Dakwanya, dia menolak tawaran itu dan akhirnya menewaskan Chong Wei 21-16 dan 21-18. Walaupun ia sudah 15 tahun berlalu, saya menyelar sikap pegawai tersebut yang cuba memperjudikan semangat kesukanan atlet.
Sejujurnya, individu itu perlu dibawa ke muka pengadilan dan diadili oleh Unit Integriti Persekutuan Badminton Dunia (BWF) agar dia tidak cuba melakukannya terhadap mana-mana pemain atau kejohanan lain.
Saya berpendirian, Taufik Hidayat perlu menamakan individu tersebut dan tidak perlu berdiam diri. Isunya bukan soal perkara itu sudah lama berlaku, sebaliknya individu ini sedang berkeliaran bebas dan berpotensi melakukan hal sama bagi memanipulasi perlawanan.
Memejam mata tanpa mengambil tindakan adalah satu sikap active bystander yang menghalalkan perbuatan ini daripada terus berulang.
Saya juga menyeru BAM bersikap tegas terhadap mana-mana pegawai yang cuba memanipulasi perlawanan dan tidak mahu insiden malang ini terjadi terhadap mana-mana atlet.
Seharusnya BAM melakukan siasatan segera kerana ia membabitkan imej dan reputasi negara dalam sukan badminton.
Kita tidak boleh berkompromi isu rasuah dalam sukan negara kerana ia menghancurkan masa depan atlet. Saya juga menasihati mana-mana atlet yang berhadapan situasi seperti ini untuk tampil bersuara.
Berdiam diri tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya akan membuat perkara itu terus berulang.
YUSLAINI AZMI, Ketua Wanita Muda AMK Terengganu.