Dedah masyarakat dengan wakaf - Utusan Malaysia

Dedah masyarakat dengan wakaf

PUSAT Dialisis Klinik Wakaf An-Nur di Kotaraya, Johor Bahru, Johor adalah antara hasil pengumpulan pemberian wakaf daripada orang ramai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

WAKAF merupakan salah satu instrumen kewangan yang berpotensi besar untuk dibangunkan dan dikembangkan bagi tujuan menangani jurang ketidaksamaan sosioekonomi. Malah, ia juga berperanan penting sebagai pelengkap yang mampu mengimbangi peranan zakat dalam memperkasa ummah.

Wakaf merupakan suatu ibadah dijelmakan menerusi konsep pemberian, infak, derma atau sedekah yang menepati prinsip amal jariah sebagai tanda pengabdian diri kepada Yang Maha Pencipta. Konsep inilah yang menjadi kekuatan dan nadi penggerak kepada pembangunan wakaf.

Terdapat  pengumpulan dana wakaf berbentuk tunai di mana kaedah ini membuka ruang dan peluang kepada orang ramai untuk menyertai  memandangkan tidak semua orang berkemampuan memiliki harta berbentuk kekal, apatah lagi menyumbang kepada wakaf. Majlis Agama Islam Negeri-Negeri (MAIN) selaku pemegang amanah tunggal kepada dana wakaf terkumpul akan menukarkan bentuknya daripada aset cair kepada aset tetap untuk dimanfaatkan kembali kepada masyarakat menerusi pelbagai bentuk pembangunan mengikut keagamaan, kesihatan, pendidikan dan ekonomi.

MAIN dan Yayasan Waqaf Malaysia banyak menganjurkan program dan projek mengikut kehendak masyarakat berdasarkan trend keperluan semasa yang dapat dimanfaatkan secara optimum demi menjamin kelestarian sumbernya serta memastikan agihan manfaat sampai kepada penerima yang berhak.

Pelaksanaan seperti pembinaan pusat hemodialisis wakaf menyasarkan  penerima kepada pesakit-pesakit buah pinggang di kawasan setempat pada kadar caj yang jauh lebih rendah berbanding pusat-pusat hemodialisis swasta lain.  

Melihatkan peri pentingnya wakaf sebagai salah satu instrumen alternatif kepada pengukuhan baitulmal yang menjadi sumber pendanaan bagi tujuan pembangunan sosial dan ekonomi masyarakat, maka amalannya wajar didukung, dibudayakan dan disebarluaskan hingga akhirnya diterima sebagai salah satu elemen kewangan aliran perdana.

Sambutan dan penyertaan masyarakat perlu lebih diperkasa melalui hebahan di media sosial, saluran radio dan televisyen, selain dijadikan sebagai sektor ketiga ekonomi. Pelbagai saluran bayaran diperkenalkan antaranya secara dalam talian, namun terdapat pilihan bagi mereka yang mahu menyumbang secara tetap melalui pemotongan gaji sangat digalakkan. Kesedaran dan keperihatinan masyarakat untuk membudayakan ibadah wakaf sangat dituntut dalam mencerminkan cetusan tekad dan semangat untuk saling membantu mengangkat martabat ummah.

 MOHD. YAKOP IKRAM, Ipoh, Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya