SAUDARA PENGARANG,
NAMPAKNYA harapan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mendengar alunan lagu Negaraku dimainkan banyak kali di sukan Paralimpik Tokyo hampa ekoran beberapa insiden yang dianggap kecil tetapi menyebabkan atlet negara berputih mata.
Begitu juga penantian peminat sukan tempatan yang mengharapkan atlet Paralimpik menebus semula kegagalan atlet Olimpik dalam mengutip emas. Namun, disebabkan masalah kecil iaitu kelewatan berada di stesen call room telah mengecewakan pengurus, jurulatih serta jutaan peminat di tanah air.
Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku kerana atlet dan jurulatih sedia maklum, perbelanjaan yang banyak dilaburkan untuk persediaan ke peringkat dunia dan masa lima tahun telah cukup untuk atlet, jurulatih dan pegawai sukan memahami undang-undang sukan olahraga terutama di peringkat dunia.
Seperti kita sedia maklum, atlet Paralimpik mempunyai masalah kurang upaya seperti kecacatan fizikal dan masalah pembelajaran yang sepatutnya diberi perhatian oleh jurulatih dan pengurus pasukan. Mereka perlu diberikan penerangan sejelas-jelasnya sebelum masuk bertanding.
Perenang, Nur Syaiful Zulkifli dua kali dibatalkan pertandingan akibat menampal pita pelekat bagi melindungi bisul dan kesilapan teknikal ketika berenang yang seterusnya menggagalkannya untuk ke pusingan akhir.
Sementara itu, lontaran hebat Muhammad Ziyad Zolkefli sejauh 17.94 meter sekali gus melayakkannya mendapat pingat emas dan memecahkan rekod dunia ditarik balik selepas protes dari kem Ukraine yang mendakwa Muhammad Ziyad lewat memasuki bilik menunggu yang menyebabkan atlet tersebut diberikan status DNS iaitu tidak layak beraksi.
Oleh itu, kita wajar mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku iaitu ketepatan masa. Kita juga wajar mencontohi negara Jepun yang mana penduduknya sangat menepati masa. Bagaimanapun, kita masih menanti dan mengharapkan Majlis Olimpik Malaysia melakukan post-mortem kegagalan atlet di sukan Olimpik Tokyo dan kesilapan teknikal atlet Paralimpik.
ABDUL HAMID, Temerloh, Pahang