Contohi cinta Hamka terhadap Malaya - Utusan Malaysia

Contohi cinta Hamka terhadap Malaya

PERASAAN cinta Hamka terhadap Malaya diluahkan secara mendalam dalam buku ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

CINTAILAH cinta kerana ia lebih tinggi daripada cita-cita. Tanpa cinta, tiada kemahuan kuat untuk seseorang membela dan mempertahankan cita-cita.

Tanpa cinta, tiada penyerahan, ketundukan dan kepatuhan untuk mengabdi serta menuruti suruhan dan larangan Maha Pencinta. Tiada perjuangan yang tumbuh tanpa dorongan cinta.

Tiada kemahuan yang teguh berdiri tanpa sandarannya. Tiada hadiah dapat dipersembah jadi tanda mata kenang-kenangan oleh tiada cinta yang menggubahnya. Seorang pengkarya pula menghalus-halus hasil kerjanya itu oleh dorongan cinta.

Antara contoh tokoh yang berkarya bersandarkan cinta ialah penulis dan ulama dari Indonesia, Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenali dengan nama pena Hamka.

Penggemar karya Hamka akan menemui cinta di mana-mana sahaja karangan beliau. Cinta adalah modal beliau mengarang. Labanya adalah persaudaraan.

Sudah tentu mencintai bukan semestinya memiliki. Gagasan negara raya yang berasaskan cita-cita dan perasaan kesatuan tanah air walaupun tidak dapat dimiliki tetapi tetap hidup dicintai.

Alam Melayu ini tetaplah sebuah negara raya walaupun dipetak kepada beberapa negara moden hari ini.

Kecintaan Hamka terhadap Malaya yang dianggap sebahagian tanah airnya sendiri dirasakan sangat dalam sehingga sahaja mendengar Malaya bakal merdeka mengiringi saudaranya Indonesia, betapa gembira hatinya.

Perasaan itu diluahkan dalam bukunya bertajuk Kenangan-kenanganku di Malaya. Beliau memulakan coretan dalam buku itu dengan mengalu-alukan kemerdekaan Malaya pada 1957.

Beliau menyifatkan mendengar perkhabaran itu umpama seorang kekasih diberitahu berita kepulangan yang dicintai. Betapa kasihnya Hamka kepada bumi Malaya.

“Dengan dada berdebar-debar laksana seorang puteri menantikan kekasihnya yang tidak kunjung datang, demikianlah saya menunggu kemerdekaan Malaya. Kakaknya pulau-pulau Indonesia telah lebih dahulu 12 tahun keluar dari dalam lubang penjajahan itu.

Tetapi hatinya tidak senang mengapa adiknya tidak kunjung datang!” Beliau menulis lagi: “Di Indonesia dan Malaya, saya selalu mendapat sanjungan dan celaan, pujian dan penghinaan, kadang-kadang disinduk gajah, kadang-kadang digigit nyamuk dan semuanya itu hanya menambah cinta saya kepada tanah air saya, Indonesia dan Malaya.”

Tetapi menurut beliau, secara bahasa, agama dan budaya, jiwanya lagi terbuka menghadapi Malaya. Rumpun Melayu yang sama urat dan daging dengan beliau iaitu seorang anak Minangkabau dari Sumatera, yang menurut beliau sepotong daripada kebudayaan Melayu juga.

Perihal nama Malaya, kebangsaan Melayu, kedudukan agama Islam, kedudukan ulama dan raja-raja, bahasa dan kebudayaan Melayu tidak dapat nikmati di negaranya sendiri.

Indonesia yang memakai sistem republik meletakkan dasar Pancasila sebagai tapak yang telah menghilangkan tonggak-tonggak Melayu itu.

Justeru, harapan beliau tertanam kepada Malaya. Ketika Indonesia mahu membangunkan nafas baharu pada bangsa yang akan dilahirkan, mereka giat sekali memisahkan bau Arab dalam bahasa Indonesia.

Ni’mat ditukar menjadi nikmat. Ia hampir-hampir kepada perkataan niqmat yang bererti bencana. Beberapa huruf sebutan Melayu yang sesuai dengan bunyi al-Quran dihapuskan demi mengindonesiakannya.

Beliau kesal mengapa pengaruh Arab tidak dibenarkan tetapi pengaruh Belanda dan Inggeris dipersilakan. Selamat ulang tahun kemerdekaan ke-64.

MUHAMAD HANAPI JAMALUDIN, Felow Penyelidik Majlis Belia Malaysia (MBM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya