SAUDARA PENGARANG,
SEBAGAI rakyat yang tidak suka kepada isu-isu penyelewengan dan rasuah, saya memohon Utusan Malaysia membongkar isu atau masalah berkaitan kuarters kerajaan yang terbengkalai sekian lama.
Ini kerana kuarters yang tidak berpenghuni dan terbiar kemungkinan menjadi tempat ‘berhantu’ dan sarang penagih.
Persoalannya, mengapa pembangunan kuarters tidak berdasarkan keperluan semasa? Jika betul-betul berdasarkan keperluan, mengapa tidak berpenghuni?
Adakah ia dibangunkan semata-mata untuk mendapatkan keuntungan bagi pihak tertentu?
Ini yang saya lihat di kawasan saya dan kalau di seluruh negara tidak tahulah berapa banyak kuarters terbiar. Rasanya boleh menjangkau ratusan buah.
Bayangkan berapa banyak kos dibazirkan sedangkan masih ramai golongan rentan perlukan rumah serta terpaksa menghuni di tempat-tempat yang sangat tidak bersesuaian.
INSAN PRIHATIN, Kedah