SAUDARA PENGARANG,
PADA hemat saya, ahli akademik harus bebas memberikan apa sahaja pandangan selagi mana ia masih dalam kerangka atau skop diskusi ilmiah yang tidak memihak.
Seorang ahli akademik wajar menyatakan perkara yang hak dan menegur perkara yang batil apatah lagi menyentuh soal tadbir urus negara dan perlembagaan. Tentunya pandangan serta pendapat mereka akan mempengaruhi orang ramai.
Misalnya, kita sering didodoi dengan cerita-cerita sensasi atau mungkin berupa fitnah sehingga turut terpengaruh kerana terdedah dengan pelbagai bentuk maklumat ‘sampah.’
Al-Quran merupakan petunjuk bagi memerdekakan pemikiran manusia daripada bersikap jumud supaya dapat berfikir dengan akal yang waras dan matang. Zaman di mana hawa nafsu akan menjadi daya tarikan ditambah meluasnya penggunaan teknologi dan multimedia tanpa sempadan.
Oleh demikian, ahli akademia bukan sahaja dituntut menyumbangkan ilmu serta bidang kepakaran malah memainkan peranan berkesan dalam memberikan pencerahan mengenai sesuatu isu agar masyarakat didedahkan dengan maklumat tepat sebagai manifestasi manhaj rabbani ummah.
Pada masa sama, masyarakat dapat berfikir serta dididik dengan kefahaman yang betul serta tepat.
Kita wajar sedar, insaf dan harus mengambil iktibar serta pedoman daripada hijrah Nabi Muhammad SAW. Sepanjang perjalanan dakwah, baginda meninggalkan khazanah tauhid sebagai ikatan kukuh antara hamba dengan pencipta-Nya.
Tauhid merujuk wawasan agung dan semangat perjuangan untuk menyampaikan mesej berkaitan iman, persaudaraan dan keadilan kepada seluruh umat manusia di samping nilai kebersamaan, tindakan serta komitmen secara holistik.
Justeru, dengan semangat hijrah diharapkan ahli akademik dan sarjana memerdekakan minda agar mengelak daripada cuba memecahbelahkan ikatan sosial, menajamkan konflik dan melebarkan pergeseran agama dalam masyarakat.
CUCU TOK JANGGUT, Bayan Mutiara, Pulau Pinang