SAUDARA PENGARANG,
KES kematian sebelum dibawa ke hospital (BID) dilihat semakin membimbangkan terutama selepas kemunculan varian baharu Covid-19 yang tidak mempunyai gejala.
Bagi membolehkan rakyat mengambil langkah berhati-hati terhadap penularan virus jenis baharu ini, maka aplikasi MySejahtera perlu memaparkan data lengkap mengenai mereka yang meninggal dunia termasuk kes BID.
Sehingga 25 September lalu, jumlah keseluruhan BID adalah sebanyak 4,923 kes. Data BID ini wajar dikongsikan kepada umum supaya orang ramai memperoleh maklumat tepat.
Ini kerana sehingga kini, aplikasi MySejahtera hanya memaparkan ringkasan jumlah kematian iaitu mengenai maklumat negeri, jantina, status kewarganegaraan, tempat kematian dan sejarah penyakit.
Bagaimanapun, aplikasi itu tidak memperincikan usia, lokasi, punca kematian atau pesakit mempunyai risiko mortality review, iaitu kajian mencari serta menilai kembali silap dan salah yang berlaku sehingga boleh berlaku kematian.
Tanpa data lengkap yang memperincikan punca pesakit meninggal dunia, ia akan menjadikan usaha membendung kes BID sukar.
Oleh itu, kerajaan perlu melaksanakan syor Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar supaya disediakan data lengkap berbanding hanya memberi ringkasan jumlah kumulatif kematian harian.
Data kematian secara terperinci dapat membantu masyarakat serta pakar mengetahui keadaan semasa yang jelas sekali gus membolehkan mereka lebih serius dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Dalam pada itu, sejak kebelakangan ini, berlaku peningkatan kematian golongan muda dan tiada sejarah penyakit kritikal lain akibat Covid-19.
Apa yang lebih membimbangkan, kes BID dalam kalangan golongan muda berusia bawah 30 tahun menunjukkan peningkatan saban hari.
Kebanyakan pesakit muda tidak sedar mereka sudah dijangkiti Covid-19 dan keadaan ini dinamakan happy hypoxic di mana pesakit tidak menyedari mengalami ancaman kesihatan.
Ini kerana tiada gejala dirasai sedangkan paras oksigen dalam badan semakin rendah berikutan kegagalan paru-paru berfungsi dengan baik. Kes seperti ini menjadi pembunuh senyap dalam kalangan masyarakat.
Turut membimbangkan, ada dalam kalangan golongan muda yang bergejala tetapi mengambil remeh tentang tahap kesihatan mereka sehingga mengakibatkan rawatan tidak dapat diberikan lebih awal.
Pertambahan kes kematian akibat Covid-19 termasuk BID berpunca daripada tiga faktor iaitu pelaksanaan kuarantin di rumah, keengganan pesakit untuk mendapatkan rawatan di hospital dan pesakit Covid-19 turut menghidap penyakit berisiko lain seperti diabetes serta obesiti.
Pada 9 September lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan lebih 86 peratus kes BID tidak berada di bawah pemantauan mana-mana institusi atau pengamal perubatan kerajaan dan swasta.
Selain menambah baik aplikasi MySejahtera, pendigitalan pengurusan pandemik Covid-19 perlu terus dilakukan termasuk menyediakan lebih banyak peranti pintar seperti pulse oximeter bagi mengukur tahap oksigen dalam badan individu yang mempunyai gejala di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC).
Langkah ini akan membolehkan tahap kesihatan individu positif Covid-19 yang sedang menjalani pengasingan di rumah dapat dinilai dengan lebih cepat.
SITI ROSNITA SAKARJI & DR. AYU KAMARENNA ABDULLAH THANI, UiTM Cawangan Kelantan.