Awas penyakit bawaan banjir - Utusan Malaysia

Awas penyakit bawaan banjir

ORANG ramai perlu patuh langkah keselamatan dan mendapatkan rawatan segera jika bergejala ketika musim banjir. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SETIAP  hujung tahun pastinya akan berlaku banjir. Sikap tidak peduli dan kurang kesedaran terhadap penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar boleh menyebabkan kecederaan.

Selain itu, taburan hujan yang tinggi akan memberi kesan kepada manusia. Antaranya boleh mengakibatkan risiko penyakit bawaan air yang mudah merebak sewaktu dan selepas banjir. 

Menurut Kementerian Kesihatan, antara penyakit berjangkit yang mudah merebak sewaktu dan selepas banjir adalah seperti berikut:

  1. Penyakit bawaan air dan makanan

Antara yang kerap berlaku adalah demam kepialu (tifoid), taun, hepatitis A, jangkitan usus dan keracunan makanan. Gejala penyakit ini seperti cirit-birit, muntah, demam, sakit perut dan sakit kepala. Ia boleh dijangkiti daripada air minuman atau  makanan tercemar. Ia sangat mudah berjangkit dan bahaya.

  1. Leptospirosis

Ia disebabkan bakteria Leptospira yang wujud dalam air kencing haiwan mamalia berkaki empat seperti tikus, kucing, anjing dan lembu. Penyakit ini boleh berjangkit  melalui sentuhan secara langsung dengan air atau air banjir yang  tercemar. Antara tanda penyakit ini  ialah demam, sakit kepala, loya, muntah, sakit otot, mata merah, ruam, sakit pada abdomen, jaundis dan air kencing berwarna kehitaman.

  1. Konjunktivitis atau sakit mata

Sakit mata mudah merebak dengan cepat daripada seorang pesakit kepada orang lain melalui perkongsian alat peribadi seperti tuala, bantal dan sapu tangan serta bergaul rapat dengan mereka yang dijangkiti. Penyakit yang disebabkan oleh bakteria atau virus ini adalah radang pada bahagian putih mata. Antara gejala sakit mata ialah mata merah, berair dan pedih, discaj tahi mata berlebihan,  gatal dan sensitif terhadap cahaya.

  1. Demam denggi

Selepas banjir surut, banyak kawasan berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes. Antara tandanya, demam mengejut dengan sakit kepala teruk, sakit di belakang bebola mata, sakit sendi dan otot, sakit pinggang yang teruk dan gatal-gatal. Ia juga berkemungkinan menjadi gastritis dengan gabungan sakit perut, mual, muntah atau cirit-birit. Pesakit juga boleh mendapat radang hati, radang otak (lebih pada kanak-kanak) dan juga dalam kes luar biasa, radang otot jantung.

Oleh itu, tindakan segera dalam mitigasi bencana pastinya memerlukan peranan semua pihak yang bertanggungjawab termasuk agensi keselamatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Oleh itu, masyarakat harus peka terhadap perubahan taburan  hujan dan perlu bersiap sedia untuk menghadapi hujan  luar biasa yang berisiko mengakibatkan bencana. Penting untuk orang ramai mendapatkan maklumat melalui aplikasi myCuaca dalam telefon pintar.

Sistem amaran banjir di lokasi  berisiko seharusnya dibangunkan dalam menangani kehilangan nyawa khususnya akibat bencana banjir lumpur.

PROF. MADYA DR. MOHD. HAIRY IBRAHIM, Dekan Fakulti Sains Kemanusian, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya