SAUDARA PENGARANG,
ALLAHYARHAM Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid yang kembali ke rahmatullah baru-baru ini dikenali sebagai tokoh birokrat serba boleh yang telah menjawat pelbagai jawatan penting termasuk Ketua Setiausaha Negara (KSN) dari 1990 hingga 1996.
Pada Hari Malaysia 16 September ini, Allahyarham yang dilahirkan pada 1938 sepatutnya genap usia 83 tahun.
Semasa menjadi KSN, beliau diberi tanggungjawab oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad mentransformasikan perkhidmatan awam termasuk memperkenalkan Sistem Saraan Baharu (SSB) pada 1992 melibatkan perubahan struktur gaji dan elaun yang lebih baik.
Pembaharuan itu terkumpul dalam buku bertajuk Pekeliling-pekeliling Mengenai Pembaharuan Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (1991-1996).
Perkara itu dinyatakan dalam beberapa kenyataan akhbar setelah pemergian Allahyarham. Cuma saya dapati yang tidak didedahkan adalah sumbangan beliau ‘menyelamatkan’ Stadium Merdeka dan Stadium Negara.
Dalam buku ditulis Allahyarham bertajuk The Remembered, Preserved and Imagined Past: My Heritage Memoirs pada 2018, beliau menjelaskan perasaan mencintai khazanah warisan negara wujud kerana sejak kecil sudah terdedah dengan bangunan bersejarah yang banyak terdapat di tempat kelahirannya di Tapah dan beberapa lokasi lain seperti Ipoh, Perak.
Allahyarham pernah menjadi Presiden Badan Warisan Malaysia selama 18 tahun dari 1995 hingga 2013.
Dalam buku itu, beliau menjelaskan sebab Stadium Merdeka dan Stadium Negara terus kekal sehingga hari ini walaupun terletak di atas tanah bernilai tinggi bersebelahan tapak projek bangunan pencakar langit tertinggi di Malaysia, PNB 118.
Allahyarham tidak rela kedua-dua bangunan bersejarah lain di Kuala Lumpur menerima nasib seperti bangunan Hongkong & Shanghai Bank dan Bok House yang disifatkannya sebagai monumen masa lampau yang dirobohkan bagi mengejar keuntungan.
Pada 1998, ketika beliau menjadi Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), syarikat itu membeli tanah yang menempatkan dua stadium berkenaan dengan harga RM311 juta.
Selepas itu, pada 2005, PNB dengan kerjasama kerajaan mengisytiharkan 48 peratus kawasan yang menempatkan dua stadium itu sebagai warisan kebangsaan yang tidak boleh dirobohkan dan pemilik mesti menjaga khazanah negara itu supaya sentiasa berada dalam keadaan baik.
Ramai juga tidak mengetahui bapa kepada lima orang anak ini gemar memberi ucapan diselitkan dengan pantun, syair dan sajak hasil karya isterinya yang juga bekas guru, Toh Puan Sagiyah Salikin.
Dalam satu temu bual pada 2000, Allahyarham menyatakan, beliau bernasib baik kerana sepanjang berkhidmat, ketua-ketuanya tidak pernah mengarahnya membuat perkara melibatkan salah laku.
Menurutnya, beliau cukup cermat dalam setiap tindakan termasuk ketika diamanahkan menjaga agensi kerajaan dan kementerian yang mempunyai peruntukan kewangan besar kerana takut melakukan kesilapan sama ada dibuat oleh beliau atau orang bawah.
SIAK MASJID, Bidor, Perak.