SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, Pemuda DAP Wilayah Persekutuan mencadangkan barisan pembangkang atas dasar kebersamaan parti dalam Pakatan Harapan (PH) bersepakat menggunakan logo PH pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Cadangan itu dibuat atas alasan menggunakan logo sebuah parti bagi mewakili parti-parti lain dalam sebuah pakatan politik dilihat sebagai tindakan yang agak mementingkan diri.
Ia juga tidak menghormati kuasa dan kemampuan parti lain dalam menyatukan rakyat melawan kuasa yang menindas.
Gabungan Reformis Malaysia (GRM) sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan 10 NGO gabungannya mendukung penuh agenda reformasi, Deklarasi Permatang Pauh 1998 dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku tonggak utamanya.
GRM mengikuti polemik penggunaan logo mewakili parti komponen PH pada PRU-15 dan kami berpandangan logo PKR mesti dikekalkan pada pilihan raya terbabit.
Kami berpandangan, ia bukanlah semata-mata alasan nostalgik tetapi kerana penerimaannya yang cukup meluas sepanjang lebih 20 tahun penggunaan logo PKR di persada politik Malaysia dari Perlis hingga Sabah.
Berdasarkan kajian terkini juga menunjukkan lebih 70 peratus rakyat memilih logo PKR dikekalkan pada PRU-15.
GRM juga berkeyakinan Anwar bersama sejumlah pimpinan kanan politik semasa dan pasukannya amat komited untuk mendukung politik nilai serta politik yang lebih stabil dalam membawa negara keluar daripada kemelut semasa.
GRM mendoakan keselamatan, keamanan dan kemakmuran buat negara dan rakyat seluruhnya serta diselamatkan daripada pandemik Covid-19.
MUSTAFFA KAMIL AYUB, Penyelaras GRM yang juga Presiden Persatuan Rapat Rakyat (Rapat).