Wujud segera Skim Subsidi Sewa - Utusan Malaysia

Wujud segera Skim Subsidi Sewa

LAPORAN Utusan Malaysia pada 27 Julai lalu mengenai, Rozy Mat Akhir dari Teluk Intan, Perak yang terpaksa membawa keluar barang miliknya setelah tidak mampu membayar sewa bilik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PANDEMIK Covid-19 telah memberi impak yang besar kepada kehidupan rakyat. Selain menjejaskan kesihatan, wabak itu telah menjejaskan pendapatan rakyat berpendapatan rendah sehingga ramai yang menghadapi masalah untuk membayar sewa rumah dan bilik.

Kerajaan sehingga kini masih belum memperkenalkan langkah khusus untuk menyelesaikan masalah terbabit walaupun banyak aduan telah dibuat oleh orang ramai.

Sejak tahun lepas, pelbagai pihak telah mendesak kerajaan memberi moratorium terhadap pembayaran sewa perumahan awam, Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan sebagainya. 

Namun, isu utama yang perlu diberi perhatian ialah rakyat yang menyewa rumah dan bilik daripada pihak swasta atau individu persendirian.

Pada ketika ini, ada pemilik rumah yang bertolak ansur, namun setelah pandemik berlarutan dalam tempoh lama, ada dalam kalangan mereka sudah mengambil keputusan untuk mengusir penyewa yang tidak mampu membuat bayaran bulanan.

Penyelesaian terhadap isu ini mesti mengambil kira hakikat bahawa bukan semua pemilik rumah kaya-raya. Ada sebahagian daripada tuan rumah yang bergantung kepada kutipan sewa untuk menampung keperluan harian mereka sendiri. 

Antara langkah penyelesaian adalah kerajaan harus menubuhkan Tribunal Perumahan yang dianggotai oleh pegawai mewakili pihak berkuasa tempatan (PBT) dan beberapa wakil daripada penduduk setempat di setiap daerah untuk mengendalikan isu penyewa tidak mampu membayar sewa rumah dan bilik. 

Langkah itu adalah selaras dengan Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020; di mana Seksen 9 (Pengantaraan) yang antara lainnya menyatakan bahawa “apa-apa pertikaian dengan apa-apa ketidakupayaan mana-mana pihak melakukan apa-apa obligasi kontraktual boleh diselesaikan melalui pengantaraan”.

Kerajaan harus mengisytiharkan bahawa pengusiran penyewa dari kediaman dan bilik tidak dibenarkan untuk tempoh setahun dari sekarang.

Jika tuan rumah dan penyewa tidak dapat menyelesaikan masalah mereka melalui perbincangan, perkara itu harus dibawa ke Tribunal Perumahan untuk diputuskan.

Tribunal Perumahan harus diberi kuasa untuk memanggil penyewa dan pemilik rumah untuk melakukan satu perundingan dan boleh memutuskan sama ada bayaran sewa harus dikurangkan atau dimansuhkan untuk satu tempoh masa tertentu.

Tribunal juga boleh menentukan jumlah subsidi yang harus dibayar oleh kerajaan kepada tuan rumah. 

Keputusan ini harus berdasarkan pada status kewangan tuan rumah. Pemilik yang menyewa sebuah rumah harus dibayar subsidi 50 peratus daripada jumlah sewa, manakala pemilik yang menyewa lebih daripada sebuah rumah dibayar subsidi lebih kecil.

Untuk melaksanakan langkah ini kerajaan perlu melaksanakan secepat mungkin Skim Subsidi Sewa untuk mengurangkan beban penyewa dan pemilik rumah.

Pengusiran dari rumah yang dialami penyewa akan menambahkan kesusahan mereka termasuk menjejaskan pendidikan anak-anak keluarga terlibat. 

Adalah tanggungjawab kerajaan melaksanakan Skim Subsidi Sewa untuk mempertahankan kepentingan rakyat biasa. 

Perumahan ialah hak asasi rakyat, dan tiada sesiapa pun yang boleh dinafikan hak tersebut kerana kehilangan punca pendapatan.

KARTHIGES RAJAMANICKAM, Kuala Lumpur.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya