SAUDARA PENGARANG,
POLITIK pasca kejatuhan Barisan Nasional (BN) dilihat agak berantakan.
Sejurus selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk kepimpinan negara, rakyat disajikan pula dengan krisis perebutan jawatan Perdana Menteri yang dikaitkan dengan dua tokoh politik negara.
Meskipun sudah membentuk kerajaan, pimpinan PH telah bertindak menarik beberapa ahli Parlimen UMNO untuk mengukuhkan cengkaman parti tersebut dalam kerajaan khususnya daripada pengundi Melayu luar bandar yang masih kuat menyokong UMNO.
Apabila pengundi Melayu menyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), maka ia mampu untuk mendominasi kedudukan dalam PH.
Namun, tindakan tersebut ternyata tidak disenangi sebahagian besar rakan komponen lain dalam PH khususnya PKR dan DAP. Kecenderungan untuk menarik seramai mungkin ahli Parlimen dan ahli biasa UMNO adalah berkait dengan ideologi Bersatu yang berlatarkan politik Melayu-bumiputera ditambah pimpinan parti itu merupakan bekas pemimpin UMNO.
Pimpinan PKR juga dengan lantang menegur Bersatu yang dilihat begitu ghairah memperluaskan keahlian khususnya kepada ahli-ahli UMNO.
Sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), PKR sebenarnya sudah berada di landasan tepat untuk memenangi pilihan raya berdasarkan mood rakyat ketika itu yang tidak berpuas hati terhadap pelbagai isu tadbir urus, kenaikan harga barangan serta isu cukai barang dan perkhidmatan (GST).
Tindakan PKR yang terlalu gopoh menerima Bersatu sebagai rakan komponen PH dalam usahanya menumbangkan BN ternyata memakan diri sendiri.
Dalam pada itu, fenomena ‘membeli’ ahli-ahli Parlimen kembali berulang selepas itu apabila seorang pemimpin PH dalam satu sidang akhbar tergempar membuat pengumuman bahawa beliau telah mendapat majoriti kukuh daripada wakil rakyat untuk membentuk kerajaan.
Tindakan tersebut ternyata memberikan impak begitu besar kepada kestabilan politik dan imej negara. Dalam praktis biasa, pihak yang terbukti mendapat majoriti boleh mentadbir negara.
Bagaimanapun, dakwaan mempunyai majoriti sebaliknya disangkal oleh pihak yang dikatakan sudah memberikan sokongan terhadap beliau.
Mutakhir ini, tindakan UMNO menarik sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) telah membawa polemik baharu termasuk membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk melakukan tawar-menawar politik.
Seandainya tindakan membeli ahli-ahli Parlimen untuk mendapatkan kuasa pemerintahan menjadi norma baharu politik negara, maka suara rakyat yang diterjemahkan melalui pilihan raya tidak lagi bernilai.
Ia telah bertukar menjadi suara elit politik yang galak mencatur masa depan politik negara.
Kata-kata keramat ‘daripada rakyat untuk rakyat’ juga sudah tidak relevan lagi berdasarkan senario politik semasa.
DR. ILYAS ABDULLAH, UiTM Pahang Kampus Raub.