SAUDARA PENGARANG,
SEMENJAK akhir-akhir ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang begitu lantang mempertikai golongan yang tidak sebulu dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan gelaran tupai dan kera.
Mengimbau kembali ketika zaman kepemimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang memperkenalkan Islam Hadhari, namun ketika itu Abdul Hadi lantang melabelkan Islam Hadhari sebagai projek Islam-Amerika.
Hakikatnya, pendekatan Islam Hadhari adalah sangat baik dan menjadi inspirasi agensi kerajaan untuk dilaksanakan secara berperingkat.
Buktinya Islam Hadhari sehingga ke hari ini masih wujud di mana ia dibangunkan menjadi sebuah institusi penyelidikan (multi disiplin) peringkat antarabangsa yang terletak di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Institusi yang diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri kelima itu berjaya melahirkan ramai para sarjana dan doktor falsafah dalam pelbagai bidang kepakaran.
Oleh itu, tindakan Abdul Hadi (yang lantang bersuara) hanya dilihat sebagai seorang ulama yang lebih ‘berpolitiking’ daripada menunaikan tanggungjawab selaku presiden parti dan menggalas tugas sebagai seorang duta khas di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN).
Kita percaya rakyat masih tetap menghormati golongan ulama sekiranya mereka membawa imej yang baik serta menjadi contoh teladan kepada masyarakat umum.
Justeru, kepimpinan Pas tidak wajar bersikap apologetik terhadap musuh politik sebaliknya hendaklah positif sekiranya mahu parti itu dilihat relevan pada masa akan datang.
CUCU TOK JANGGUT, Pulau Pinang