SAUDARA PENGARANG,
KEBELAKANGAN ini, dunia dikejutkan dengan kejadian bencana alam seperti banjir besar yang melanda beberapa negara Eropah seperti Jerman sementara Wilayah Henan, China juga berlaku kejadian sama yang mengorbankan ratusan nyawa.
Data mencatatkan taburan hujan sebanyak 617.1 milimeter (mm) di Zhengzhou didakwa hampir bersamaan purata tahunan sebanyak 640.8mm. Kedua- dua bencana itu diberitakan terburuk dalam tempoh 1,000 tahun.
Di Malaysia, Jabatan Meteorologi Malaysia pula meramalkan berlaku cuaca panas sehingga pertengahan September diikuti peningkatan jumlah taburan hujan pada pertengahan bulan hadapan. Melihat kepada perkembangan banjir besar yang melanda China dan Eropah, tidak mustahil bencana ini boleh berlaku di negara ini.
Agensi berkaitan perlulah sentiasa bersedia sekiranya berlaku bencana ini termasuk mengadakan pelbagai program untuk mangsa Covid-19. Kerajaan melalui Majlis Bencana Negara perlu merangka strategi agar rakyat terutama di Pantai Timur mendapat vaksin sebelum musim tengkujuh yang dijangka sebelum November.
Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) hendaklah dipercepatkan sebelum berlakunya banjir yang dijangka berlaku pada hujung tahun nanti. Kita tidak mahu berlaku pula kluster banjir apabila mangsa banjir di tempatkan di pusat pemindahan sementara.
Majlis Keselamatan Negara perlu siap siaga dalam mengurus bencana seperti persediaan awal sebelum banjir terutama di kawasan rendah dan padat penduduk seperti di Lembah Klang yang berisiko untuk ditenggelami banjir.
Justeru, rakyat dan kerajaan hendaklah sentiasa peka dan berwaspada terhadap sebarang perubahan cuaca yang memberi kesan kemusnahannya di luar jangkaan.
ABDUL HAMID, Temerloh, Pahang.