SAUDARA PENGARANG,
DALAM pilihan raya setiap pengundi hanya memiliki satu undi untuk memilih calon dari parti yang bertanding.
Oleh itu, setiap pengundi akan membuat pilihan berdasarkan kepada rasionaliti tentang jangkaan faedah yang akan diperoleh. Mereka juga berharap berlaku perubahan politik dan wujud pentadbiran bermoral.
Dalam proses membuat pilihan, pengundi akan memberikan undi kepada calon dari parti yang dirasakan mampu untuk memenuhi segala tuntutan mereka berpandukan kepada maklumat dan pengetahuan politiknya.
Bagaimana, terdapat kes manfaat atau faedah yang dijangka tidak dapat diperoleh daripada parti dipilih.
Ini kerana dalam pilihan raya, parti politik terbabit akan membentuk suatu retorik yang nampak seakan-akan rasional dan munasabah serta berkeupayaan untuk merefleksi realiti.
Kemunasabahan itu sering kali diulang siar dalam lapangan media disokong dengan statistik dan pendapat tokoh-tokoh tertentu.
Dalam persekitaran tersebut golongan yang taksub kepada parti politik tertentu kelihatan mudah untuk menerimanya. Keadaan ini menyebabkan pengundi cenderung melakukan kesalahan yang berulang-ulang dalam pilihan raya apabila tetap memilih parti sama.
Justeru, bagi mengelakkan daripada terus dimanipulasi, pengundi harus menentukan parti yang hendak dipilih berdasarkan sikap individualis-konsumeris.
Kepatuhan kepada mana-mana parti politik tidak harus diberikan secara semberono dan penuh ketaksuban.
Ketaatan kepada parti politik hanya boleh diberikan sekiranya kehendak rakyat terlebih dahulu dipenuhi meliputi manfaat ekonomi, sosial dan mewujudkan politik yang bermoral.
Sokongan terhadap parti politik perlu dinilai semula sekiranya ia gagal untuk mengadun prinsip keadilan untuk rakyat.
Rakyat juga tidak seharusnya setia kepada mana-mana pemimpin politik yang melampaui batasan.
Imej perwakilan politik yang sering terpalit dengan isu rasuah, ketidaktelusan dalam pemberian projek pembangunan, pengabaian terhadap suara rakyat dan seumpamanya seharusnya dilakukan penggantian.
Tujuan penggantian perwakilan politik adalah untuk menciptakan transformasi pemerintahan yang lebih adil dan bermoral.
DR. ILYAS ABDULLAH, UiTM Pahang Kampus Raub.